Sabtu, 3 Oktober 2009

Terengganu kaji henti hantar pelajar perubatan ke Indonesia

BERNAMA


KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu akan mengkaji semula penghantaran pelajar jurusan perubatan ke Indonesia atas faktor keselamatan berikutan gempa bumi yang sering berlaku di negara itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman kerajaan negeri sedang mempertimbangkan kemungkinan menghantar pelajar bidang perubatan ke Poland atau Hungary.

"Apa pun keputusan yang bakal diambil nanti, ia adalah yang terbaik untuk pelajar-pelajar kita," katanya kepada pemberita pada Program Semarak Bestari 1Malaysia di Kampung Baru Seberang Takir, di sini, hari ini.

Razif berkata buat masa ini terdapat seramai 65 pelajar Terengganu sedang menuntut dalam bidang perubatan di 10 buah universiti di Indonesia.

Seorang daripada pelajar berkenaan menuntut di Universiti Andalas di Padang yang mengalami gempa bumi dua hari lepas.

Bagaimanapun, pelajar itu terselamat dalam kejadian itu.

Razif berkata kerajaan negeri akan menghantar rombongan pegawai Yayasan Terengganu ke Indonesia minggu depan untuk melihat aspek keselamatan pelajar di sana.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan negeri akan meneruskan penghantaran masing-masing 50 pelajar ke Mesir dan ke Rusia untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan tahun ini.

Tiada ulasan: