Khamis, 22 Oktober 2009

Tempat lontar jamrah siap

Oleh Marzuki Yusof


MADINAH – Kerajaan Arab Saudi menaik taraf kemudahan di tanah suci Mekah termasuk menyiapkan sepenuhnya tempat melontar jamrah yang ditinggikan kepada lima tingkat bagi mengelak kesesakan dan rempuhan semasa melaksanakan ibadat haji.

Melontar jamrah adalah salah satu daripada perkara yang diwajibkan dalam pelaksanaan ibadat haji. Pada musim haji sebelum ini, beberapa kejadian rempuhan termasuk melibatkan kematian atau kecederaan berlaku ekoran sikap sesetengah jemaah yang tolak-menolak untuk mendekati kawasan lontaran.

Pada tahun 2003, tragedi rempuhan di tempat melontar jamrah mengorbankan puluhan nyawa jemaah termasuk dari Indonesia dan India. Ketika itu ketinggiannya hanya dua tingkat.

Berikutan kejadian berdarah itu juga, cara pelaksanaan melontar ibadat itu diubah iaitu jemaah tidak lagi pergi ke tempat melontar dan berpatah balik sehingga berlaku pertembungan dengan jemaah yang mahu memasuki kawasan itu.

Di bawah peraturan baru yang diperkenalkan, cara pelaksanaan diubah iaitu jemaah dikehendaki menuju ke kawasan lontaran dan selepas selesai melontar di ketiga-tiga jamrah, mereka tidak perlu berpatah balik tetapi terus bergerak ke depan.

Ketua Muassasah Jemaah Haji Asia Tenggara, Fahad A. Shehata berkata, projek menaik taraf tempat melontar jamrah itu sudah siap sepenuhnya dan boleh digunakan dengan sempurna untuk ibadat haji musim ini.

Selain itu, menurut beliau, Kementerian Haji Arab Saudi berusaha memperkemaskan sistem pengurusan dan pengangkutan membawa jemaah haji dari Madinah ke Mekah serta dari Arafah ke Mina.

‘‘Di Madinah sendiri, kita dapat lihat kedatangan jemaah haji pertama Malaysia boleh dikatakan lancar daripada ketibaan di lapangan terbang sehingga tiba ke hotel penginapan,’’ katanya kepada pasukan media Malaysia di sini, hari ini.

Fahad juga memberitahu bahawa pada tahun ini jemaah haji perlu membawa pasport antarabangsa dan tidak lagi pasport haji seperti ditetapkan sebelum ini.

Beliau berkata, perubahan peraturan itu adalah selaras dengan amalan penggunaan pasport antarabangsa untuk keluar masuk ke sesebuah negara.

Mengenai fokus Kementerian Haji kepada jemaah dari Malaysia, Fahad berkata, pihaknya menugaskan seramai 90 petugas dan mereka bekerja dalam tiga waktu bertugas 24 jam sehari.

‘‘Di samping petugas yang boleh bertutur bahasa Inggeris, kami juga berusaha melatih pegawai yang boleh berbahasa Melayu,’’ ujarnya.

Tiada ulasan: