Ahad, 18 Oktober 2009

Tak perlu Yayasan Umno

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan, berkata Umno tidak perlu mewujudkan yayasan sendiri kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah menyalurkan bantuan kepada rakyat menerusi pelbagai agensi.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, turut tidak bersetuju cadangan penubuhan dewan ulama kerana Umno sudah mempunyai biro agama selain dianggap meniru Pas.

“Begitu banyak agensi diwujudkan untuk membantu rakyat antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat. Apa yang penting, sebagai pemimpin kita harus turun padang membantu golongan ini.

“Saya fikir tidak perlu yayasan diwujudkan, lagi pun Umno bukan parti perniagaan. Yayasan mungkin boleh diwujudkan di peringkat bahagian, bukan di peringkat pusat,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

Mengenai dewan ulama Umno, beliau berkata, parti itu tidak perlu meniru Pas kerana apa yang dilakukan Umno untuk agama selama ini sudah betul, tetapi mungkin biro agama sedia ada boleh ditukar namanya.

Kedua-dua cadangan itu dikemukakan perwakilan Pulau Pinang, Shahbudin Yahya pada Perhimpunan Agung Umno supaya yayasan itu membantu ahli, manakala dewan ulama mendekati golongan agama dalam usaha memperkasa parti.

Tiada ulasan: