Rabu, 7 Oktober 2009

Tabika 1Malaysia mula tahun depan

Oleh Norfatimah Ahmad


KUALA LUMPUR: Mulai tahun depan setiap kelas di semua 1,953 Tabika Perpaduan seluruh negara wajib menempatkan pelajar prasekolah berbilang bangsa bagi memupuk semangat yang mencerminkan konsep 1Malaysia.

Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Azman Amin Hassan, berkata arahan sudah dikeluarkan kepada pegawai jabatan itu serta Jawatankuasa Rukun Tetangga yang terbabit dalam proses pendaftaran bagi memastikan bilangan pelajar campuran pelbagai bangsa, seimbang.

“Promosi di setiap kawasan juga perlu dilakukan bagi merealisasikan hasrat itu, bermula apabila pendaftaran dibuka September lalu.

“Garis panduan untuk melaksanakannya juga dirangka untuk memudahkan pihak berkenaan.

“Kita mahu kanak-kanak dapat pengalaman secara langsung bersama rakan sebaya berbilang kaum, bukan hanya melalui pembacaan menerusi sukatan pelajaran yang disediakan di tabika.

“Walaupun ada pengendali Tabika Perpaduan memberi pelbagai alasan mengenai kesukaran merealisasikan hasrat 1Malaysia, kita percaya ada jalan terbaik untuk menjadikannya kenyataan, termasuk menjalankan kempen dan penerangan kepada masyarakat di setiap kawasan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Azman berkata, setakat ini, walaupun ada tabika menempatkan pelajar berbilang bangsa di setiap kelas, pencapaiannya masih belum memuaskan dan tidak ketara.

Beliau berkata, komitmen tenaga pengajar juga penting untuk memastikan konsep 1Malaysia yang boleh memberi kesan positif untuk jangka masa panjang, menjadi kenyataan.

Selain itu, katanya, 15 Tabika Perpaduan membabitkan sebuah di setiap negeri menjadi perintis konsep pembelajaran pasca Permata, khusus untuk kanak-kanak berusia antara dua hingga empat tahun mulai Januari tahun depan.

Beliau berkata, setiap kelas menempatkan empat tenaga pengajar lulusan diploma yang mengendalikan 20 pelajar.

“Setakat ini, pemilihan lokasi sudah dibuat dengan bangunan yang dipilih diubah suai membabitkan peruntukan kira-kira RM200,000 setiap satu dengan dilengkapi pelbagai kemudahan dan peralatan pembelajaran serta kolam renang.

“Bayaran yang dikenakan hanya RM50 sebulan dan saringan akan dilakukan untuk memastikan hanya pelajar yang layak diberi peluang menyertai program ini,” katanya.

Azman berkata, jika semua berjalan lancar, dua lagi tabika di setiap negeri yang menerapkan konsep sama akan beroperasi selepas mendapat persetujuan Sekretariat Permata Negara.

Tiada ulasan: