Isnin, 12 Oktober 2009

Status jelapang ditukar?

Oleh ZAINI RABAN


BAGAN SERAI - Status kawasan jelapang padi seluas 3,000 hektar di daerah Kerian di sini mungkin akan ditukar bagi membolehkan kira-kira 1,200 petani terlibat mengusahakan tanaman lain.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, cadangan itu diterima daripada pihak kerajaan negeri selepas tanaman padi di situ menghadapi masalah kekurangan hasil.

''Kawasan ini telah diwartakan sebagai kawasan jelapang padi sejak 1937, namun selepas pelbagai program pembangunan dan melibatkan perbelanjaan yang besar dilakukan, hasil yang diperoleh petani masih rendah.

''Terdapat beberapa sebab mengapa hasil padi di sini sangat kurang antaranya ialah masalah air yang kadangkala terlalu berlebihan dan terlalu kurang kerana terletak di bawah paras laut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran UMNO Bahagian Bagan Serai di sini hari ini.

Hadir sama ialah Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai, Datuk Zaili Cha.

Mengenai hasil padi yang diperoleh pesawah di daerah Kerian pada masa ini, Noh menjelaskan, secara puratanya mereka hanya mampu menghasilkan padi antara dua hingga tiga tan metrik sehektar bagi semusim.

Kata beliau, ia bersamaan dengan kira-kira RM1,400 sebulan yang sangat jauh daripada piawaian hasil padi ditetapkan di peringkat kebangsaan iaitu 10 tan metrik sehektar bagi semusim.

''Ramai pesawah di tempat lain sudah mendapat hasil tinggi selepas mencapai hasil 10 tan metrik padi sehektar. Malah jika boleh hasilkan lima tan padi untuk dua hektar dalam semusim pun sudah boleh capai pendapatan kasar RM10,000 sebulan.

''Bagaimanapun di sini, hasil tertinggi yang pernah dicatatkan oleh pesawah hanya 3.5 tan metrik sehektar dan kebanyakannya berada di bawah paras tiga tan metrik sehektar," katanya.

Menurut Noh, apa yang lebih penting tanaman baru yang bakal diperkenalkan di kawasan itu akan dipastikan membawa pulangan ekonomi lebih baik kepada rakyat.

Katanya, antara tanaman yang boleh diperkenalkan ialah kelapa sawit dan sayur-sayuran atau apa juga jenis tanaman yang boleh membawa pulangan lebih baik berbanding padi.

''Bagaimanapun, pihak kementerian akan mendengar pandangan dan mengikut kehendak rakyat sama ada mereka bersetuju atau tidak dengan cadangan ini.

''Tugas kerajaan adalah untuk memberi penjelasan kepada rakyat supaya mereka tahu apakah projek tanaman yang terbaik. Kita tidak mahu pihak pembangkang mencelah dan menjadikan perkara ini sebagai isu politik," katanya.

Tiada ulasan: