Rabu, 21 Oktober 2009

SPRM kaji semua laporan

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mula mengkaji semua Laporan Ketua Audit Negara 2008 pada peringkat persekutuan dan negeri bagi mengesan kemungkinan berlaku sebarang unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam pengurusan dana awam.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull, berkata langkah itu perlu bagi memastikan ketelusan dalam setiap penyata dan pengurusan kewangan di semua peringkat terbabit yang disemak Jabatan Audit Negara.

“Kajian terhadap laporan ini adalah prosedur yang biasa dilakukan setiap tahun, jadi biarlah pegawai SPRM jalankan tugas mereka dulu sebelum kami melaksanakan tindakan susulan jika mengesan sebarang salah urus dana awam,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sebelum ini, SPRM yang dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR) pernah menahan serta mendakwa kakitangan dan pegawai beberapa jabatan dan kementerian di seluruh negara berikutan pendedahan salah urus dana yang menjurus kepada unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Berdasarkan laporan terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan memberi jaminan pihaknya akan menjalankan siasatan yang mengutamakan ketelusan dan tanpa pilih kasih. Malah, pihaknya akan membawa sesiapa yang terbabit melakukan penyelewengan ke muka pengadilan.

Mohd Shukri berkata, jika sebarang salah urus dana awam dikesan, pihaknya akan membuka kertas siasatan dan mula mengumpul maklumat lanjut serta mendapatkan keterangan pihak yang bertanggungjawab dalam melaksanakan projek terbabit.

“Bagaimanapun, ketika ini, masih terlalu awal untuk menyatakan kedudukan laporan audit itu kerana ia masih di peringkat penelitian rapi,” katanya.

Beliau berkata, sebagai badan yang bertanggungjawab memastikan sistem tadbir urus negara berjalan lancar tanpa dipengaruhi unsur negatif, pihaknya akan memastikan tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan daripada sistem sedia ada.

Tiada ulasan: