Khamis, 22 Oktober 2009

SPR buat transformasi

Oleh Sariha Mohd Ali


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melakukan transformasi dengan meminda beberapa peruntukan, termasuk proses pengundian pos bagi memastikan peraturan ditetapkan bersesuaian perubahan senario politik semasa di negara ini.

Berikutan itu, SPR kini giat mengadakan perbincangan dalaman secara teliti berhubung perkara itu, sebelum dibincangkan dengan Jabatan Peguam Negara serta kerajaan dan jika memerlukan pindaan, ia akan dibentangkan untuk kelulusan Parlimen.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata transformasi yang dilakukan SPR itu antara usaha yang dilakukan pihaknya untuk mewujudkan lebih banyak ketelusan termasuk membabitkan proses pengundian pos yang menimbulkan banyak rungutan pihak tertentu walaupun pindaan berhubung perkara itu sudah dilakukan pada 2003.

Beliau berkata, pihaknya menyedari beberapa aspek dalam perundangan yang digunakan SPR sekarang memerlukan pengubahsuaian dan pindaan supaya lebih jelas dan kesediaan melakukan transformasi itu mampu meningkatkan kredibiliti SPR sebagai agensi bebas dan pakar dalam urusan pilihan raya.

“Tugas mengurus pilihan raya pada masa sekarang menjadi semakin sukar kerana parti politik sudah memahami secara mendalam setiap aktiviti yang berlaku dalam proses pilihan raya itu.

“Ini bermakna, mereka bukan datang hanya untuk mengundi tetapi meneliti setiap apa yang terjadi sepanjang proses berkenaan berlangsung, malah parti politik juga sudah mempunyai penasihat undang-undang sendiri, selain mewujudkan pasukan menganalisisi keputusan yang boleh mempertikaikan kredibiliti SPR.

“Jadi, SPR perlu lebih bijak dan berada selangkah ke depan daripada mereka kerana kita yang mengendalikan pilihan raya dan membaca undang-undang berkaitannya setiap hari,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini semalam.

Selain Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003, turut dikaji untuk pindaan perlembagaan itu termasuk Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya), 1981 yang dipinda pada 2002.

Wan Ahmad berkata, rakyat dan parti politik perlu memberi ruang secukupnya kepada SPR untuk melakukan perubahan dan memperkasakan lagi sistem pilihan raya kerana proses meminda undang-undang itu perlu diperhalusi secara berperingkat.

Tiada ulasan: