Jumaat, 23 Oktober 2009

Slogan 1-Malaysia, dulu dan kini

Oleh SHIRZAD LIFEBOAT


HARI Raya Aidilfitri dan juga bulan Syawal telah berakhir. Begitu juga Deepavali. Namun beberapa bulan lagi masyarakat Cina akan merayakan Tahun Baru mereka.

Perayaaan bersifat keagamaan dan kaum adalah masa menyeronokkan bagi rakyat Malaysia. Seperti yang disebut oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak, "Saya berasa seronok hari ini, saya dapat nampak semangat 1-Malaysia ini hidup di kalangan masyarakat di negara ini. Jadi ini satu budaya yang sangat baik dan perlu kita kekalkan."

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menjelaskan semangat Deepavali dapat mengukuhkan kerjasama, perpaduan, menghargai kepelbagaian budaya yang menjadi sebahagian daripada warisan Malaysia.

Tentu sekali ini semua adalah cakap-cakap politik yang cukup sedap bunyinya.

Barangkali Najib dan Muhyiddin hanya melihat rakyat biasa datang berkunjung ke rumah terbuka sesuatu perayaan pada hari perayaan berkenaan sahaja dan pada hari-hari lain, mereka serta kebanyakan pemimpin kerajaan Umno-BN, hanya melihat rakyat biasa sebagai perhimpunan orang ramai yang mendengar ucapan mereka dalam sesuatu majlis.

Tidak mustahil yang datang ke majlis rumah terbuka perayaan ini hanyalah segelintir penyokong parti dan beberapa kerat mereka yang 'non-partisan' dalam soal politik tetapi mahu makan 'free' sambil melihat wajah menteri dari dekat. Bila lagi nak salam dan tengok menteri kalau bukan pada waktu parti politik kerajaan mengadakan rumah terbuka sempena sambutan sesuatu perayaan.

Menurut persepsi minda Najib, hal seperti itu adalah 1-Malaysia. Dan bagi Muhyiddin pula, sudah tentu dia tidak berkemampuan mengatakan sesuatu lebih daripada apa yang telah diulangi oleh pemimpin terdahulu.

Tetapi itulah mentaliti politik Umno-BN – sekiranya sesuatu berlaku, maka oleh itu benarlah apa yang dikatakan oleh pemimpin kerajaan. Dalam lain perkataan hanya kerana rakyat biasa (tidak mustahil sebahagian besar daripadanya pemimpin dan penyokong BN sendiri) menghadiri sesuatu rumah terbuka, maka itu sudah boleh dikira sebagai 1-Malaysia.

Sebenarnya slogan dan aspirasi Najib mengenai 1-Malaysia boleh dianggap sebagai betul. Sejak Peristiwa 13 Mei 1969, sejak istilah seperti 'semangat muhibah antara kaum', sejak perkataan 'harmoni antara-kaum' dan 'budaya Malaysia' diperkenalkan dan dijaja dari satu masa ke satu masa, hubungan antara kaum di Malaysia, setidak-tidaknya dilihat sebagai telah mengalami satu anjakan positif.

Barangkali, sebelum Najib menyedarinya atau sebelum mengusulkan 1-Malaysia, yang dianggapnya sebagai projek 'brainchild' sosialnya yang bertaraf 'super mega', semua kaum di Malaysia sudah menerima hakikat mereka perlu hidup bersama. Kaum Cina dan India juga sudah lama menerima hakikat mereka juga adalah rakyat Malaysia sebagaimana orang Melayu.

Hakikatnya para peringkat rakyat biasa, soal semangat muhibah, harmoni antara kaum tidak menjadi masalah sama sekali. Orang Cina tidak ada masalah bersarapan dan makan nasi lemak dan kopi-O di Warung Pak Mail, atau orang Melayu minum kopi di kedai kopi Hailam, apatah lagi orang Melayu dan Cina makan dan minum di kedai yang disebut sebagai restoran mamak.

Ketika berucap sebagai Ketua Pemuda Umno suatu ketika dulu, Najib yang ketika itu juga adalah Menteri Belia dan Sukan turut menyebut bagaimana semangat '1-Malaysia' ini terlihat di dalam kontigen Sukan Sea negara.

Najib sendiri memberikan contoh apabila pasukan sepak takraw negara bertarung menentang musuh tradisi mereka, Thailand dan bagaimana semua pemain dan pegawai pasukan bola keranjang negara (semuanya berketurunan Cina), tanpa ada arahan atau galakan turut sama membarisi tempat duduk di sisi gelanggang untuk memberikan sokongan moral kepada pasukan sepak takraw negara.

Barangkali ketika itu juga atau beberapa tahun sebelum itu, Najib tentu masih ingat, betapa tidak ada sesiapapun yang ambil peduli hakikat Dato' Soh Chin Aun adalah seorang berketurunan Cina dan apa yang dikatakan oleh beliau di atas padang dipatuhi oleh pemain termasuk Allahyarham Mokhtar Dahari dan disokong oleh puluhan ribu penyokong di dalam stadium yang majoritinya Melayu.

Dan mereka juga tidak ambil 'pot' bahawa R Arumugam itu adalah seorang berketurunan India, atau Santokh Singh seorang Sikh. Kita juga mempunyai Wong Choon Wah, Lim Teong Kim, Serbegeth Singh, M Chandran, Shukor Salleh, Abdullah Ali, sekadar menyebut beberapa nama. Kalah, menang, mereka semuanya mewakili 1-Malaysia dengan satu semangat.

Mereka berjaya menghidupkan semangat tersebut kerana dari segi habuan dan upah, semuanya sama sahaja. Pemilihan adalah berdasarkan meritokrasi bukan disebabkan menurut keturunan atau kuota. Tidak ada peruntukan atau persefahaman bahawa bek kiri mesti daripada kaum Cina, kapten pasukan perlu seorang keturunan Melayu, penjaga gol harus seorang berketurunan India dan sebagainya.

Justeru, pasukan dan penyokong kedua-duanya membentuk satu kesatuan jitu tanpa perlu slogan dan pekikan 'Malaysia Boleh'.

Tetapi mengapakah hari ini kita tidak dapat merealisasikan 1-Malaysia tulen pada zaman itu - kesatuan, persefahaman serta semangat satu-Malaysia yang langsung tidak memerlukan apa-apa slogan sekalipun?

Barangkali Najib serta lain-lain pemimpin kerajaan dalam BN tahu akan sebab sebenarnya tetapi tidak mungkin dapat diluahkan secara eksplisit dan jujur.

Satu Malaysia pernah wujud walaupun dalam bentuk berlainan dan dalam skala lebih kecil. Namun untuk mewujudkan sebuah 1-Malaysia bagi memenuni inspirasi Najib, kita memerlukan lebih daripada slogan yang jika terlalu bersifat keterlaluan hanya akan mematuhi 'hukum pulangan berkurangan'.

Sementara PAS dan rakan-rakan lain dalam Pakatan sedang mengusahakan satu bentuk 1-Malaysia yang lebih mencerminkan kesaksamaan universal, malangnya Melayu dalam Umno terus berpuak-puak dan begitu juga dengan MCA dan MIC yang turut terjebak dalam sengketa ini.

Oleh itu bolehkah Najib berseronok dengan 1-Malaysia yang wujud hanya di permukaan sewaktu rumah terbuka sesuatu perayaan kaum? Apakah ini 1-Malaysia?

Tiada ulasan: