Ahad, 18 Oktober 2009

Skim Kawalan Harga Barang diperluas

Oleh Rosli Abdul Jalil


BERA: Skim Kawalan Harga Barang sempena musim perayaan akan diperluaskan bagi Krismas, Gawai dan Pesta Kaamatan tahun ini untuk membolehkan semua lapisan rakyat menikmati harga barang yang terkawal.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kaedah sama akan dilakukan pada masa depan supaya setiap lapisan rakyat dapat menyambut perayaan tanpa sebarang tekanan harga barang keperluan.

"Kita sudah memulakan skim ini Aidilfitri lalu untuk tempoh dua minggu dan sekarang bagi Deepavali yang dimulakan pada 12 Oktober. Setakat ini, kita dapati kaedah ini berkesan untuk mengawal kenaikan harga barang," katanya.

Bercakap pada sidang media selepas menghadiri Majlis Kenduri Raya Gerakan Daya Wawasan (GDW) Parlimen Bera di Dewan Kampung Datuk Sri Hamzah, Kemayan, di sini, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata sepanjang kempen bagi Aidilfitri, hanya empat kes peniaga menaikkan harga barang dikesan.

"Ia menunjukkan kempen ini berkesan dan menepati sasaran. Bagi kempen untuk Deepavali, setakat ini tiada kes peniaga menaikkan harga barang dikesan dan kita berharap keadaan ini berterusan hingga kempen tamat 22 Oktober ini," katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengadakan rundingan dengan sektor industri dan peniaga sebelum menetapkan harga kawalan untuk musim perayaan bagi memastikan semua pihak berada dalam keadaan menang-menang dan dapat mengelak kegiatan menyorok barang keperluan pada musim perayaan.

Terdahulu pada sebelah pagi, Ismail Sabri mengunjungi rumah Timbalan Pengerusi MIC Pahang, R Goonasekaren yang juga Ketua Bahagian MIC Bera di Taman Temerloh Jaya sempena Deepavali.

Tiada ulasan: