Jumaat, 23 Oktober 2009

Siapa mengatasi undang-undang?

Puspawati Rosman


14 Oktober lalu, saya sepatutnya berada di tingkat 29 Menara Tun Razak, di mana terletaknya ibu pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM). Tujuannya ialah untuk menghadiri sambungan pendengaran siasatan awam terhadap peristiwa penangkapan saya dan empat orang rakan peguam daripada Pusat Bantuan Guaman Kuala Lumpur di hadapan Balai Polis Bricfields, 7 Mei lalu (peristiwa Brickfields).

Siasatan awam tersebut adalah susulan daripada aduan rasmi dan memorandum oleh Majlis Peguam kepada SUHAKAM berkenaan dengan salah laku pihak polis ke atas kami yang melanggar hak asasi manusia. Tiga orang Pesuruhjaya telah dilantik oleh SUHAKAM untuk mendengar siasatan awam tersebut, iaitu Michael Yeoh Onn Kheng, Denison Jayasooria dan Muhammad Shafee Abdullah sebagai Pengerusi.

Walau bagaimanapun, pada 13 Oktober, pihak Majlis Peguam telah menerima sepucuk surat daripada SUHAKAM memaklumkan tentang penangguhan pendengaran tersebut ke 20 November.

Surat tersebut tidak memberitahu alasan-alasan penangguhan.

Bermula dengan polis...

Ini adalah kali kedua pendengaran ditangguhkan. Kali pertama adalah gara-gara polis. Polis, polis, polis. Mungkin memang telah ditakdirkan dalam kehidupan saya bahawa saya akan bernasib malang setiap kali bertembung dengan polis.

Kisahnya begini. Pada peringkat awal dahulu, selepas SUHAKAM memutuskan untuk menjalankan siasatan awam terhadap peristiwa Brickfields, saya dan rakan-rakan telah dihubungi oleh pihak SUHAKAM yang meminta kami untuk datang ke ibu pejabat mereka dan memberikan keterangan bertulis, yang mana keterangan bertulis itu akan digunakan ke atas kami ketika pendengaran siasatan awam itu nanti. Kami juga telah diberitahu bahawa selain daripada kami, semua orang yang terlibat termasuk anak-anak guam kami, wartawan dan pihak polis sendiri akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Seksyen 14 (1) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999 (Akta SUHAKAM) sememangnya memperuntukkan kuasa kepada SUHAKAM bagi mengarahkan seseorang itu memberikan keterangan bertulis. Bukan itu sahaja, SUHAKAM juga mempunyai kuasa meminta seseorang itu memberikan keterangan secara bersumpah atau ikrar. Dalam bahasa mudah, keterangan tersebut akan diakhiri dengan tandatangan orang tersebut yang sah.

Siasatan awam telah bermula pada 14 Ogos yang lalu. Dua hari pertama pendengaran dimulakan dengan keterangan anak-anak guam kami seramai sembilan orang. Pada waktu ini, kami telah mendapat tahu bahawa pihak polis masih belum memberikan keterangan bertulis. Maka Pesuruhjaya telah memberikan arahan sekali lagi supaya pihak polis dibawa ke kamar atas dan keterangan mereka diambil oleh pegawai-pegawai SUHAKAM.

Ditanya saiz pagar balai

Kemudian, giliran saya sebagai saksi pun tiba. Saya telah "dipanggang" selama hampir empat jam. Dalam tempoh tersebut, nampaknya hanya satu jam saja saya ditanya tentang pelanggaran hak asasi pihak polis dan pemahaman saya dalam undang-undang dan prosedur jenayah terutamanya yang melibatkan hak seseorang untuk berjumpa dengan peguam selepas ditangkap.

Selainnya ialah latar belakang saya, "rekod jenayah" saya, bagaimana saya mengenali anak-anak guam saya, saya makan malam dengan siapa dan di mana, jarak saya berdiri dari balai polis ketika penangkapan dan fokus pandangan saya ketika berdiri di hadapan balai polis ketika tangkapan.

Saya juga ditanya tentang saiz pagar balai polis Brickfields.

(Mungkin selepas ini, saya akan menasihatkan peguam-peguam junior supaya membawa pita ukur setiap kali mereka pergi ke balai polis untuk kes-kes "urgent arrest" dan hak asasi manusia.)

Mungkin ditukar watak?

Selepas saya, "rakan selokap" saya, Fadiah Nadwa Fitri telah dipanggil untuk memberikan keterangan. Beliau juga "dipanggang" agak lama, lebih kurang tiga jam. Nampaknya, Fadiah lebih berbakat dalam bidang seni daripada saya. Lakarannya tentang kedudukan kami berdiri di depan balai polis Brickfields ketika kejadian lebih besar dan terang sehingga dipuji oleh Muhammad Shafee. Saya hanya mampu melukis orang lidi saja.

Waktu itu, saya tak nampak kaitan perkara ini dengan hak asasi manusia. Tetapi kemudiannya saya telah dinasihatkan oleh peguam saya, Puravalen bahawa kemungkinan besar pihak polis cuba untuk menukar watak kelima-lima kami sebagai sebahagian daripada peserta-peserta acara "candlelight vigil" pada malam itu, dan bukannya sebagai peguam.

Selepas Fadiah, Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan telah dipanggil untuk memberikan keterangan. Beliau telah menceritakan pengalamannya diherdik, dimaki serta dihalau oleh pihak polis ketika cuba untuk bertemu dengan kami.

Berita yang mengejutkan

Pada 29 Ogos, pendengaran sepatutnya disambung dengan keterangan oleh seorang lagi "rakan selokap" saya, Murnie Hidayah Anuar. Akan tetapi, sebelum pendengaran sempat bermula, kami secara tidak sengaja telah mendapat tahu satu berita, iaitu:-

Pihak polis masih belum memberikan keterangan bertulis kepada SUHAKAM walaupun telah diminta untuk berbuat demikian. Kalau adapun, mereka tidak menandatangan keterangan tersebut.

Nampaknya, pihak polis telah memperlekehkan kuasa SUHAKAM yang telah diperuntukkan di bawah Seksyen 14 (1) Akta SUHAKAM tersebut walaupun “no one is above the law”, kata ketua mereka sedikit masa lalu.

Penemuan yang mengejutkan itu telah membuatkan peguam saya mengamuk di hadapan Pesuruhjaya-Pesuruhjaya. Marah Puravalen, "police witnesses are being unfaithful. They are liars. It's obnoxious and this is not to be expected from Polis DiRaja Malaysia! If they want to invoke any privilege they must disclose. The PDRM are liars, cheats, thieves. They say they will give statement but they went up and did something else. Do not come back, turn up and say something else. Our rights have been affected!"

Disebabkan perkara itu, kami enggan meneruskan pendengaran pada hari tersebut sehinggalah polis memberikan keterangan bertulis mereka. Wakil polis telah berhujah bahawa keterangan bertulis itu tidak penting, tetapi kami berpendapat sebaliknya. Kenapa?

Kelebihan tidak memberi keterangan bertulis

Apabila seseorang memberikan keterangan bertulis, sebahagian daripada kredibilitinya sebagai seorang saksi terletak kepada keterangan tersebut. Samada, ketika keterangan nanti, beliau akan memberikan keterangan yang bercanggah atau tidak. Pesuruhjaya-pesuruhjaya juga selalunya akan membaca dahulu keterangan bertulis sebelum mereka masuk ke dalam kamar pendengaran dan mereka sudah bersedia dengan soalan-soalan untuk dikemukakan kepada saksi-saksi.

Apabila pihak polis tidak memberikan keterangan bertulis, mereka akan mempunyai satu kelebihan iaitu, oleh kerana mereka sudah mendengar keterangan daripada saksi-saksi kami ketika pendengaran, mereka bolehlah pulang ke rumah dan kemudian menyusun strategi dan jawapan-jawapan untuk menyangkal keterangan kami apabila tiba giliran mereka nanti. Memandangkan mereka tidak mempunyai keterangan bertulis, maka mereka tidak terikat dengan keterangan terdahulu mereka dan mereka boleh menukar jalan cerita sesuka hati.

Mungkin mereka juga akan menukar saiz pagar balai polis Brickfields.

Tambahan pula, apabila pihak SUHAKAM membiarkan pihak polis tidak mengikut undang-undang, kelihatan seolah-olah SUHAKAM adalah bias dan berat sebelah kepada pihak polis. Mengapa kami diwajibkan memberikan keterangan bertulis tetapi mereka tidak?

Apabila keadaan kamar pendengaran menjadi semakin hangat, Pesuruhjaya Muhammad Shafee telah mengeluarkan satu arahan-- kedua-dua pihak diminta memberikan hujahan berkenaan keterangan bertulis, iaitu samada pihak polis wajib memberikan keterangan bertulis atau tidak untuk satu siasatan awam SUHAKAM.

Maka berhujahlah kedua-dua pihak dan juga pihak pemerhati daripada Majlis Peguam berkenaan perkara itu pada 2 September. Pada 11 September yang lalu, Pesuruhjaya Muhammad Shafee (gambar kanan) telah memberikan keputusan, bahawa pihak polis yang dipanggil sebagai saksi WAJIB memberikan keterangan bertulis mereka kepada pihak SUHAKAM dalam masa tujuh hari iaitu selewat-lewatnya pada 19 September. Tambah Muhammad Shafee lagi, sekiranya saksi enggan memberikan keterangan bertulis, "SUHAKAM would have to be a complainant in a police report to investigating agencies for purposes of initiating action to be taken against the recalcitrant witnesses".

Membuat laporan tentang polis di balai polis? Ironinya.

Sehingga artikel ini ditulis, kami masih tidak tahu samada pihak polis telah memberikan keterangan bertulis mereka atau belum. Pihak SUHAKAM juga tidak memberitahu kami apa-apa. Yang nyata, pendengaran kes kami ditangguhkan lagi. Mungkin ia akan berlanjutan sehingga ke tahun depan.

Kejadian ini membuatkan saya terfikir. Berapa lamakah kami perlu menunggu sehingga keadilan dapat ditegakkan? Adakah sikap acuh tak acuh pihak polis adalah kerana mereka beranggapan bahawa pihak berkuasa MENGATASI undang-undang? Selama ini saya cuba untuk mempercayai bahawa di dalam setandan pisang, tak semuanya busuk. Kita hendaklah bekerja secara professional dengan semua orang. Bawa isu-isu ke tempat yang sepatutnya dengan tangan yang bersih. Sekiranya kita berkelakuan adil dan budiman, kita juga akan dilayan sebegitu rupa.

Tapi, cukuplah.

Mungkin sudah tiba masanya, kami lawan api, dengan api.

*Puspawati Rosman ialah Ketua Projek Jawatankuasa Kesedaran Undang-Undang, Pusat Bantuan Guaman Kuala Lumpur.

Tiada ulasan: