Khamis, 22 Oktober 2009

Sheikh Muszaphar tunai haji

UTUSAN ONLINE


PUTRAJAYA - Angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha akan menunaikan ibadah haji atas jemputan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Sultan Salman tahun ini.

Ini merupakan kali kedua beliau dijemput oleh putera raja berkenaan untuk melaksanakan Rukun Islam kelima itu.

Sheikh Muszaphar Shukor berkata, beliau akan berlepas ke tanah suci bulan depan.

''Ini merupakan kali kedua saya dijemput oleh kerajaan Arab Saudi untuk menunaikan haji.

''Saya bersyukur dan teruja kerana dapat mengekalkan hubungan dengan Putera Salman yang merupakan orang Islam pertama ke angkasa lepas pada 1985,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tahun lalu, Sheikh Muszaphar menunaikan haji bersama keluarganya juga atas jemputan kerajaan Arab Saudi.

Menurutnya, beliau berharap pertemuannya dengan Putera Salman nanti dapat mewujudkan hubungan dua hala dalam bidang sains dan teknologi di antara Institut Sains Angkasa (Angkasa), Universiti Kebangsaan Malaysia dengan Agensi Angkasa Lepas Arab Saudi.

Beliau memberitahu, Angkasa boleh menumpukan kepada bidang satelit mikro memandangkan Arab Saudi agak maju dalam teknologi tersebut.

''Arab Saudi telah melancarkan 13 buah satelit mikro ke angkasa lepas dan kita mungkin boleh mendalami teknologi mereka,'' ujarnya.

Sheikh Muszaphar menambah, semasa di sana, beliau juga akan mengadakan beberapa siri syarahan untuk para pelajar di Riyadh dan Jeddah.

Tiada ulasan: