Khamis, 1 Oktober 2009

Shahrudin tetap bertanding sebagai calon Bebas

UTUSAN ONLINE


PORT DICKSON - Ahli Jawatankuasa Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Teluk Kemang, Shahrudin Abdul Hamid, 52, tetap dengan pendiriannya untuk bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Beliau berkata, tiada ada sebab untuk beliau menarik diri berdasarkan sokongan pelbagai pihak yang berjanji untuk mengundinya pada pilihan raya kecil berkenaan.

"Saya rela keluar dari PKR dan melepaskan jawatan yang disandang jika itu kehendak pucuk kepimpinan parti," katanya di sini hari ini.

Menurut Shahrudin, beliau akan meneruskan hasrat untuk membangunkan kawasan Port Dickson dan perkara itu menjadi agenda kempennya bagi memenangi hati pengundi di situ.

Dengan pengumumannya itu, katanya, gelanggang pilihan raya kecil di Bagan Pinang bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan beliau, calon Barisan Nasional (BN) dan Pas.

"Saya sedar telah mendapat tekanan daripada pelbagai pihak khususnya pemimpin PKR, tetapi saya akan meneruskan hasrat ini untuk kepentingan rakyat dan pembangunan di Port Dickson," kata beliau.

Shaharuddin memberitahu, Malaysia mengamalkan sistem demokrasi yang membolehkan siapa saja untuk bertanding demi membela nasib rakyat.

"Ini akan memberikan saingan yang sihat kepada semua parti yang bertanding," jelasnya.

Tiada ulasan: