Ahad, 25 Oktober 2009

Semua projek baru luar bandar dilaksana berdasarkan keperluan akar umbi

BERNAMA


KOTA KINABALU: Semua projek luar bandar yang baru khususnya di Sabah dan Sarawak akan dilaksanakan berdasarkan keperluan golongan akar umbi dan bukannya atas kehendak pengurusan atasan, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan projek luar bandar itu benarbenar menepati sasaran dan memberi manfaat kepada rakyat seperti yang diharapkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kali ini satu jawatankuasa khas akan meneliti kesesuaian semua senarai projek luar bandar yang dikemukakan dan hanya meluluskan projek memenuhi keperluan rakyat.

"Sebab itu, kita memerlukan senarai lengkap projek pembangunan luar bandar yang diperlukan di setiap kawasan daripada Anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri sebelum melaksanakannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Pertubuhan Peladang Negeri Sabah kali ke-23 di IBorneo, dekat sini hari ini.

Mohd Shafie berkata kementeriannya sudah menerima sebahagian besar senarai projek luar bandar yang dicadangkan untuk dilaksanakan di seluruh negara.

"Proses penyenaraian projek ini masih berterusan dan kita berharap semuanya selesai menjelang akhir tahun ini," katanya.

Mohd Shafie berkata kementeriannya diperuntukkan sebanyak RM2.3 bilion di dalam Bajet 2010 bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan infrastruktur luar bandar.

Beliau berkata daripada jumlah itu, RM857 juta diperuntukkan untuk membina jalan luar bandar dan jalan kampung manakala RM530 juta untuk projek bekalan air dan RM825 juta lagi bagi menyediakan kemudahan elektrik luar bandar.

Mohd Shafie berkata kementeriannya akan memastikan tidak berlaku monopoli tender projek luar bandar, dan sebaliknya memberi peluang lebih luas kepada semua kontraktor layak untuk menyertai pelaksanaan projek yang dirancang untuk kemudahan rakyat.

"Kita tidak mahu wujud keadaan di mana hanya kontraktor tertentu yang diberikan kontrak untuk projek luar bandar. Kita mahu peluang yang sama diberikan kepada kontraktor lain yang layak," katanya.

Terdahulu semasa berucap, Mohd Shafie berkata pengumuman Perdana Menteri dalam Bajet 2010 jelas membuktikan negara ini memerlukan peladang produktif yang mengamalkan pertanian moden untuk menjamin bukan sahaja bekalan makanan sentiasa mencukupi malah keselamatan dan kemakmuran yang dinikmati sekarang berkekalan.

Tiada ulasan: