Isnin, 5 Oktober 2009

'Saya tidak dijanjikan apa-apa jawatan' kata Isa

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


PORT DICKSON: Calon Barisan Nasional (BN) mengakui beliau tidak pernah dijanjikan apa-apa jawatan jika memenangi kerusi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Beliau berkata perkara berkenaan tidak timbul sebaliknya menyifatkan perkara tersebut sengaja dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu.

"Saya tidak dijanjikan apa-apa jawatan, saya dah jadi Menteri Besar tak perlu nak jadi exco.

"Bagi saya tak ada apa-apa mengenai isu ini, saya bertanding untuk berkhidmat kepada orang kampung saya... itu sahaja," katanya ketika ditemui semasa menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Kesatuan Pekerja-Pekerja Awam Angkatan Tentera Malaysia (Kesatria) dan Kelab Kakitangan Kementerian Pertahanan Negeri Sembilan (Kakep NS) di sini hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media dan juga kenyataan yang digunakan pemimpin pembangkang bahawa beliau berkemungkinan akan dijadikan anggota exco kerajaan negeri sekirang memenangi kerusi DUN Bagan Pinang pada 11 Oktober ini.

Tambah bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu lagi, beliau tidak akan melayan dakwaan mahupun andaian sedemikian.

"Ia tak timbul, tak ada apa... tak perlu nak beri reaksi apa-apa," katanya.

Tegas beliau matlamat beliau bertanding pada pilihan raya ini adalah untuk menang dan berkhidmat di kawasan Bagan Pinang.

Menurutnya yang juga Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang, ini adalah pertama kali beliau ingin berkhidmat di kawasan Bagan Pinang iaitu di kampungnya sendiri.

"Niat saya untuk terus menabur khidmat bakti sebagai wakil rakyat kepada penduduk di Bagan Pinang.

"Saya bertanding hanya untuk memenangi kerusi DUN Bagan Pinang, itu saja....saya tak dijanjikan apa-apa," katanya.

Dalam pada itu Mohamad ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut berkata isu rombakan exco tidak timbul kerana keutamaan beliau sekarang ialah untuk memastikan BN menang di DUN Bagan Pinang.

Tambah beliau usaha untuk memenangkan calon BN adalah menjadi keutamaan dan soal rombakan exco akan difikirkan kemudian.

"Saya punya keutamaan sekarang ialah nak menang pilihan raya ini, saya akan tumpukan kita punya usaha untuk menang dalam pilihan raya DUN Bagan Pinang dan perkara itu (rombakan exco) kemudian... kemudian kita fikirkan," katanya ringkas.

Tiada ulasan: