Selasa, 27 Oktober 2009

Rundingan Umno-PAS hanya umpan Muhyiddin

Nazri Abdullah


KUALA LUMPUR : PAS menyifatkan Tan Sri Muhyiddin Yasin umpama 'hidung tidak mancung, pipi tersorong- sorong' apabila mengambil kesempatan dengan cuba sekali lagi menawarkan rundingan Umno-PAS.

Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad dalam satu kenyataan mengingatkan Timbalan Presiden Umno itu agar tidak cuba mengeluarkan kenyataan memecah belahkan perpaduan antara PAS dan Pakatan Rakyat.

"Pas mengingatkan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin jangan cuba mencari kesempatan untuk memecah belahkan perpaduan parti Pas dan Pakatan Rakyat, seperti yang dilaporkan dalam Utusan Malaysia 26/10/2009.

"Muhyiddin jangan jadi hidung tidak mancung pipi tersorong-sorong," kenyataannya dipetik.

Katanya Pas berpendapat tindakan Muhyidin itu akibat berasa gelisah dengan perkembangan politik PAS di mana orang bukan Islam semakin menolak Umno dan menerima parti Islam itu.

Orang bukan Islam yang dahulunya ibarat 'tongkat sakti' dan 'balang oksigen' Umno kini katanya sudah hilang sakti dan kehabisan oksigennya.

Talian hayat Umno itu katanya kini sudah berpindah kepada Pas dan Pakatan Rakyat.

"Pas tidak lagi dipandang sebagai parti yang cauvanis perkauman, sebaliknya mereka melihat pas sebagai wadah baru mereka untuk mendapat keadilan di negara ini.

"Umno sedar bahawa tongkat sakti mereka sudah patah (iaitu pengundi bukan Islam), kerana selama ini umno hanya boleh bernafas dengan bantuan oksigen daripada balang oksigen pengundi bukan Islam," beritahunya lagi.

Umno kian bimbang katanya apabila menyedari generasi muda juga menyebelahi PAS.

Gabungan generasi muda, orang bukan Islam dan orang melayu menyokong PAS akan memberi kesan amat parah kepada parti pemerintah itu kerana jika Umno tumbang, penggantinya adalah PAS.

Oleh kerana ketakuitan itu katanya, Umno kini sedang memanipulasi isu Melayu Islam seolah olah Umno adalah harapan pembela Melayu Islam.

"Pas menyedari bahawa Umno sedang manipulasi isu melayu dan Islam, kononnya kalau Umno kalah melayu dan Islam akan hancur.

"Sedangkan apa yang berlaku kemusnahan kepada Melayu dan Islam adalah angkara Umno.

"Umno tidak boleh tudung bangkai gajah dengan tudung saji yang kecil, kerana yang menjahanamkan melayu dan Islam ialah angkara umno, bukannya perbuatan Pas," katanya lagi.

Muhyiddin seperti dilaporkan media arus perdana Isnin lalu membuat kenyataan bahawa 'rundingan Umno-PAS masih terbuka'.

Ianya sebagai memberi tekanan kepada PAS berhubung persoalan terbaru Muktamar Khas sepeti yang dicadang Mursyidul Am, Tuan Guru datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat minggu lalu.

PAS sebelum ini pernah terpalit isu kerajaan perpaduan apabila dimanipulasi Umno BN.

Namun ianya diselesaikan dengan baik oleh PAS dan mengumumkan untuk terus memperkukuh hubungan bersama Pakatan Rakyat.

Manakala terbaru, PAS sekali lagi berdepan isu hampir sama apabila Nik Aziz mengeluarkan cadangan supaya PAS mengadakan Muktamar Khas bagi menyelesai masalah kepimpinan parti.

Nik Aziz bagaimanapun bersetuju untuk hanya diadakan mesyuarat khas mengantikan muktamar seperti yang dicadangkan.

Manakala Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali semalam mengumumkan akan mengadakan Mesyuarat Khas Jawatan Kuasa PAS esok bagi membincangkan perkara tersebut.

Ianya juga bermaksud bahawa isu Muktamar Khas tidak lagi berbangkit.

Dalam perkembangan lain, PR akan mengadakan satu Konvesnsyen Pakatan Rakyat pada 13hb Disember ini di Shah Alam Selangor .

Ianya antara lain bertujuan untuk terus memperkasa pakatan sebagai sebuah kerajaan menunggu. _

Tiada ulasan: