Sabtu, 3 Oktober 2009

RM60j baiki kereta api Bukit Bendera

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN


TASEK GELUGOR - Projek pembinaan semula sistem kereta api di pusat peranginan Bukit Bendera, dekat sini yang menelan kos RM60 juta dijangka dapat dimulakan hujung bulan ini dan siap sepenuhnya menjelang akhir tahun depan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, projek itu akan menggantikan struktur sistem kereta api sedia ada yang sering rosak sehingga menyebabkan pengunjung terkandas.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri (MTPN) berkata, majlis pecah tanah projek berkenaan akan dilakukan oleh Kementerian Pelancongan bersama Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan MTPN.

''Projek naik taraf ini menelan kos RM60 juta dan peruntukan sudah disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk dilaksanakan menjelang hujung bulan ini.

''Kita yakin ia dapat disiapkan dalam tempoh setahun iaitu sebelum akhir tahun depan,'' katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Cawangan Kampung Paya Tok Akil di sini hari ini.

Nor Mohamed Yakcop berkata, pelaksanaan projek tersebut akan menyebabkan laluan kereta api ke pusat peranginan itu ditutup sementara sehingga kerja-kerja pembinaan selesai.

Sehubungan itu katanya, beberapa kaedah sedang dikaji untuk menggantikan sistem pengangkutan sedia ada bagi membolehkan pengunjung masih boleh melawat pusat peranginan tersebut.

''Projek itu mungkin menimbulkan sedikit kesulitan kerana laluan sedia ada terpaksa ditutup. Tetapi kita sedang memikirkan cara lain termasuk menggunakan pengangkutan lain seperti van,'' katanya.

Beliau berkata, penyaluran dana bagi melaksanakan projek tersebut merupakan antara bukti keprihatinan kerajaan Persekutuan untuk membantu negeri-negeri yang ditadbir oleh pakatan pembangkang.

''Ada pihak yang kata, kita tidak beri bantuan kepada negeri yang ditadbir pembangkang. Itu tidak benar kerana kita memberi tumpuan pada semua negeri dan ini adalah salah satu contoh,'' jelasnya.

Nor Mohamed berkata, melalui pelaksanaan projek tersebut, para pengunjung sama ada dari luar negara atau tempatan akan dapat menikmati suasana percutian yang selesa di pusat peranginan berkenaan.

Tiada ulasan: