Isnin, 5 Oktober 2009

RM200,000 unit saham Koperasi Bina Bangsa dijual

BERITA HARIAN OLINE


KUALA LUMPUR: Hanya dalam tempoh dua bulan pendaftarannya diluluskan, sejumlah RM200,000 unit saham Koperasi Bina Bangsa sudah dilanggan anggotanya sekali gus memperlihatkan potensi cemerlang koperasi itu.

Pengerusinya, Khairul Anwar Rahmat, berkata selain menunaikan tanggungjawab sosial bagi memelihara kebajikan anggotanya, Koperasi Bina Bangsa juga memberi perhatian kepada beberapa bidang yang dikenal pasti sebagai berpotensi, termasuk sektor hartanah, aktiviti kepenggunaan dan perkhidmatan.

“Kami akan terus meninjau beberapa peluang lain, termasuk melakukan pelaburan di luar negara. Sebenarnya beberapa bidang sudah dikenal pasti dan hasil serta pertumbuhannya dijangka akan dapat dilihat selepas dua tahun Koperasi Bina Bangsa beroperasi,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan hari raya di kediamannya, semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Khairul Group berkata demikian selepas mengiringi Setiausaha Sulit Timbalan Perdana Menteri, Mohd Nizar Sudin ketika penyerahan sebuah kenderaan pacuan empat roda, Honda CRV bernilai hampir RM150,000 kepada penerima Anugerah Khidmat Cemerlang 2009, Haryati Yasin.

Mengulas mengenai kejayaan Haryati, Khairul Anwar berkata, beliau dipilih sebagai penerima Anugerah Khidmat Cemerlang berdasarkan prestasi kerja, komitmen dan sikap tanggungjawab tinggi yang ditunjukkannya.

“Insentif dan galakan yang diberikan kepada beliau adalah sebagai dorongan kepada warga kerja lain di samping membuktikan betapa saya menghargai kakitangan yang berkhidmat di sini. Pada masa sama, ia juga lebih kepada falsafah syarikat yang mahu berkongsi keuntungan dengan setiap warga kerja.” katanya.

Sementara itu, Haryati gembira dengan pengiktirafan diterimanya selain memandang ia sebagai satu motivasi untuk berusaha dengan gigih lagi pada masa depan.

“Saya berkhidmat di syarikat ini sejak 2007 lagi dan bangga kerana daya usaha serta dedikasi selama ini disedari, walaupun sebenarnya tidak pernah memikirkan sebarang bentuk balasan. Apa yang sentiasa saya tanamkan dalam diri ialah menjalankan tugas yang diamanahkan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Tiada ulasan: