Sabtu, 10 Oktober 2009

Rasuah: Pengundi Bagan Pinang perlu pertahankan maruah

Abdul Aziz Mustafa


BAGAN PINANG : Rakyat Bagan Pinang pasti akan mempertahankan maruah dan harga diri mereka dengan menolak Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang dihukum oleh partinya sendiri kerana politik wang yang merupakan amalan rasuah, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Biasanya, selain mempertahankan harta bendanya, seseorang manusia akan mempertahankan maruah dan harga dirinya. Malah, maruah dan harga diri dipertahankan melebihi harta benda," kata beliau dalam ceramahnya semalam dalam siri kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Beliau percaya, para pengundi di Bagan Pinang terutama anak-anak Bagan Pinang di perantauan yang sudah mula pulang beramai-ramai untuk mengundi akan menebus maruah rakyat Malaysia di mata dunia yang begitu tercemar dengan isu rasuah.

"Selamatkanlah maruah kita semua sebagai rakyat Malaysia dan maruah negara ini dengan memilih calon PAS yang tidak pernah dikaitkan dengan rasuah dan menolak calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang didapari bersalah oleh partinya sendiri kerana terlibat dengan politik wang.

"Politik wang sebenarnya merasuahkan para perwakilan Umno supaya memilih seseorang calon menjadi pemimpin. Pemimpin naik dengan rasuah dan sebab itulah (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) kata Umno sudah menjadi parti perasuah," katanya.

Mahfuz mengibaratkan memilih pemimpin atau wakil rakyat seperti memilih menantu.

"Adakah kita akan memilih menantu yang bersih dari jenayah dan kesalahan atau kita mahu memilih menantu yang menjadi pencuri atau penyamun serta pernah dihukum pula kerana melakukan kesalahan?" tanya beliau.

Beliau juga mengingatkan pesanan Dr Mahathir supaya diudi calon yang bersih.

"Dr Mahathir berpesan demikian kepada para perwakilan mesyuarat agung khas MCA.

"Saya ingin bertanya kepada para pengundi Melayu di Bagan Pinang yang ada di sini. Adakah pemimpin masyarakat Cina sahaja yang perlu bersih?

"Adakah pemimpin Melayu yang tidak bersih kita biarkan menjadi pemimpin orang Melayu dan kita pilih pula untuk menjadi wakil rakyat di tempat kita?" kata beliau.

Beliau berkata, jika orang-orang Cina akhirnya memilih pemimpin yang bersih dan orang-orang Melayu pula memilih para pemimpin yang tidak bersih, di manakah maruah dan harga diri orang-orang Melayu sedangkan kita beragama Islam yang menekankan kepmpinan yang bersih serta memerangi rasuah," kata beliau.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu seterusnya mengingatkan, tugas dan tanggungjawab para pengundi di Bagan Pinang bukan sahaja untuk menebus maruah dan harga diri mereka sendiri yang disogokkan oleh calon yang pernah dihukum kerana politik wang malah mereka juga bertanggungjawab mempertahankan maruah negara dan rakyat Malaysia seluruhnya.

"Negara kita semakin merudum dalam indeks rasuah. Dari kedudukan ke 43 jatuh lagi ke kedudukan ke 47 setelah jatuh demi jatuh sebelum ini. Kita sebagai rakyat Malaysia pula rugi lebih dari RM10 bilion setahun kerana rasuah.

"Adakah setelah Dr Mahathir kata Umno sudah menjadi parti perasuah, kita akan dengar pula tuduhan bahawa Malaysia negara perasuah atau syurga perasuah?

"Sebab itulah saya katakan para pengundi Bagan Pinang mesti menyelamatkan negara ini dari dituduh syurga perasuah," kata beliau. _

Tiada ulasan: