Selasa, 27 Oktober 2009

Pusat diminta tunaikan hak negeri termasuk diteraju Pakatan

Dzulfikar Mashoor


KUALA LUMPURt: Ahli Parlimen Marang Tuan Guru Abdul Hadi Awang pagi tadi sekali lagi menyeru kerajaan persekutuan menunaikan tanggungjawab federalisma kepada negeri termasuk yang diterajui Pakatan Rakyat.

Pusat katanya perlu mengambil pengajaran dari Alquran dan melihat pengajaran beberpa buah negara yang berpecah akibat mengenepikan konsep federalisma.

"Sepatutnya kerajaan (Persekutuan) mengambil pengajaran dalam Alquran...bagaimana kerajaan-kerajaan yang besar runtuh disebabkan (amalan) fasad dan menafikan hak-hak rakyat yang minoriti," tegas Hadi waktu membahaskan Badjet 2010.

"Begitu juga dengan Malaysia Timur yang begitu mundur. Sabah (dan) Sarawak, saya tidak tahu betapa mundur disebabkan amalan federalisme salah (oleh) Umno BM."

Beliau yang juga Presiden Pas menasihatkan kerajaan mengambil pengajaran atas pepecahan beberapa negara disebabkan amalan federalisme yang zalim.

"Contoh pepecahan Pakistan dan Bangladesh berlaku disebabkan pihak minoriti dizalimi dalam federalisme kuasa-kuasa besar yang salah."

Mencelah perbahasan itu, Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff meminta Hadi menjelaskan, adakah persekutuan memanfaatkan Majlis Kewangan Negara (MFC) sewaktu Pas memerintah Terengganu dari dari tahun 1999 hingga 2004.

"Secara praktikalnya, Persekutuan tidak pernah menghormati federalisme, termasuk hak-hak rakyat di negeri-negeri pimpinan pembangkang."

"Sepatutnya Majlis itu dianggotai oleh Sultan dan Menteri Besar, apa yang menyedihkan isu royalti minyak Terengganu yang dibawa kita tidak dilayan...kerana kita Pas," jelas Hadi.

Hadi menjelaskan Persekutuan yang sepatutnya memberi wang perkapita pada bulan Ogos setiap tahun, sengaja melewatkannya sehingga bulan Disember tahun tersebut.

"Sekarang 1Malaysia Najib sekali lagi enggan memberi royalti minyak ke atas kerajaan PAS Kelantan...bukan setahun dua, tapi sejak 1990 dulu lagi," tegasnya.

Dakwa Hadi lagi, amalan federalisme Umno sekarang masih tidak mencerminkan 1Malaysia, yang diperkenalkan sendiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahli Parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub meminta Hadi menjelaskan, adakah fasad (kerosakan) dalam amalan federalisme negara sama dengan konsep belanjawan aparteid seperti yang berlaku di beberapa negara dunia ketiga.

Menjawab soalan itu, Hadi menjelaskan bahawa belanjawan pilih kasih bukan sahaja berlaku antara sesebuah kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

Malah, dasar belanjawan aparteid berlaku juga dalam negara, sebagaimana dasar Umno ke atas umat Melayu.

"Sebenarnya belanjawan aparteid ini juga dilakukan antara rakyat...bermula dengan (dasar) bumiputera kemudiannya Umnoputera setelah Umno lemah. Selepas itu, mungkin MCA-putra dan MIC-putra," sinis Hadi lagi.

Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusoff bangkit meminta Hadi menjelaskan hukum ke atas kerajaan Persekutuan yang masih enggan menyerahkan royalti minyak milik rakyat Kelantan, tetapi Hadi berjanji untuk menjelaskan isu itu kemudian kerana kesuntukan masa._

Tiada ulasan: