Rabu, 7 Oktober 2009

Pusasda jadi pusat undi pos tentera

BERNAMA


PORT DICKSON: Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di Si Rusa di sini menjadi pusat pengundian bagi undi pos untuk 4,571 anggota tentera bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang manakala 31 lagi pengundi pos polis akan mengundi di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson.

Pengundian bagi undi pos akan berlangsung esok dari 8 pagi hingga pukul 5 petang.

"Kita buka satu saja pusat pengundian (untuk pengundi pos tentera) atas permintaan pihak tentera yang bertanggungjawab ke atas kemkem ini. Kalau terlalu berselerak banyak sangat, susah nak kawal, kita kumpulkan semua sekali di Pusasda esok," kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Wan Ahmad Wan Omar kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau sebelum itu menyaksikan proses pengeluaran dokumen undi pos yang turut dihadiri agen calon di Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson.

Wan Ahmad berkata pihak tentera juga hanya membenarkan seorang wakil untuk setiap calon berada di pusat pengundian di dalam kem itu nanti.

"Itu adalah peraturan dia, SPR hanya mengeluarkan prosedur pentadbiran, pihak ATM mempunyai asas kuat, dan mereka ada dasar tentang keselamatan dalam kem," katanya.

Wan Ahmad berkata satu wakil untuk seorang calon adalah mencukupi untuk memantau proses pengundian itu memandangkan ia diadakan di kawasan lapang, iaitu padang kawad di pusat itu dan bukannya di dalam dewan.

Menurutnya, proses pengundian yang akan dipantau oleh lapan pegawai tentera dan pegawai SPR itu akan berlangsung selama dua hari.

"Kalau satu hari tak habis, kita akan sambung esok, tapi karung undi pada hari pertama itu akan dibawa ke pejabat Pegawai Pengurus Pilihan Raya petang esok dengan diiringi pihak polis dan tidak akan disimpan dalam kem," katanya.

Beliau berkata, semua kertas undi mesti sampai di pejabat pegawai pengurus sebelum 5 petang Ahad ini, yang juga merupakan hari pengundian bagi pengundi biasa, dalam pilihan raya kecil itu.

"Jika lewat kertas undi itu tidak akan dikira," kata Wan Ahmad.

Mengulas mengenai perjalanan kempen setakat ini, beliau berkata, pihak penguatkuasa SPR telah menurunkan enam poster Barisan Nasional (BN) dan 14 Pas kerana pelbagai kesalahan.

Pilihan raya kecil kali ini melibatkan calon BN Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan calon Pas Zulkefly Mohamad Omar.

Tiada ulasan: