Sabtu, 3 Oktober 2009

Polis marin rampas peralatan komputer bernilai RM700,000

BERNAMA


PELABUHAN KLANG: Polis Marin Selangor merampas komputer riba dan peralatan lain dianggarkan bernilai RM700,000 yang cuba diseludup ke Indonesia menggunakan jalan laut di sini petang semalam. Pegawai Operasi Polis Marin Selangor, ASP Abu Bak Mohamad, berkata barangan itu termasuk mesin pencetak dan papan litar utama dirampas dalam bot yang didaftarkan di Indonesia, kira-kira pukul 5.50 petang.

Beliau berkata, peralatan komputer itu dipunggah dari Jeti Asaniaga, Pelabuhan Klang, untuk diseludup ke Kuala Tanjung, Indonesia, sebelum ditahan sepasukan anggota Polis Marin yang sedang menjalankan operasi sempena musim perayaan. "Hasil pemeriksaan kita menjumpai 250 unit komputer riba dan beg komputer, 200 unit mesin pencetak dan 460 unit papan litar utama yang kesemuanya dianggarkan bernilai lebih RM700,000 mengikut harga pasaran," katanya kepada pemberita di Jeti Polis Marin, Pulau Indah di sini hari ini. Abu Bak berkata, seorang tekong warga Indonesia berumur 34 tahun turut ditahan untuk membantu siasatan manakala tiga lagi awakawak dibebaskan.

"Kesemua barangan ini tidak ada dokumen lengkap termasuk dokumen pelepasan cukai mengikut Akta Kastam 1967 dan kita akan siasat bagi mengesan siapa dalang di sebalik penyeludupan ini," katanya.

Abu Bak berkata, sepanjang Ops Cegah Jenayah sejak Ogos lalu, sebanyak 11 kes dikesan membabitkan kesalahan Akta Imigresen kerana menggunakan laluan keluar yang tidak sah.

Beliau berkata, kesemua kes itu membabitkan pendatang tanpa izin dari Indonesia yang tidak mempunyai dokumen perjalanan atau permit tamat tempoh dan menggunakan jalan keluar yang tidak sah.

Tiada ulasan: