Jumaat, 9 Oktober 2009

Polis akan siasat dakwaan serangan ala komando

UTUSAN ONLINE


PORT DICKSON - Polis akan menyiasat dakwaan kononnya berlaku serangan ala komando oleh ahli Pergerakan Pemuda UMNO ke atas beberapa markas hingga mencetuskan kecederaan awal pagi ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihaknya memandang serius dakwaan pembangkang itu.

''Kita akan lihat dengan teliti aduan ini," kata beliau kepada pemberita selepas mendengar taklimat keselamatan di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson, di sini hari ini.

Sehubungan itu beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat perkara itu.

Hishammuddin juga menasihatkan anggota polis yang terlibat dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang agar tidak memihak kepada mana-mana parti - BN atau Pas.

''Kita harus bersikap adil dan saksama terhadap kedua-dua parti yang bertanding iaitu BN dan Pas. Kalau perkara ini kita abaikan, polis pula akan dijadikan isu," ujar beliau.

Mengenai tuduhan pembangkang, terhadap penggunaan dua kad pengenalan di kalangan pegawai dan anggota polis bagi tujuan menggandakan undi pos, Hishammuddin berkata, ia tidak berasas.

''Mengapa isu ini terus dibangkitkan oleh pembangkang. Dahulu pun undi pos ini berpihak kepada mereka. Waktu itu mereka mendiamkan diri kerana dapat banyak sokongan," tegas beliau.

Malangnya, kata Hishammuddin bila Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang ini mula dilihat kurang sambutan, mereka cuba bangkitkan kembali isu undi pos itu untuk meraih sokongan pengundi.

"Ini seharusnya tidak berlaku," ujar beliau.

Dalam lawatan dan taklimat yang diberikan itu, beliau berpuas hati dengan peranan yang telah dimainkan oleh anggota polis sepanjang pilihan raya kecil ini berlangsung dan memuji tanggungjawab yang mereka lakukan.

Hadir sama pada lawatan itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh dan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supritendan Mazlan Othman.

Tiada ulasan: