Selasa, 13 Oktober 2009

Pesawat tempur baru ganti MiG-29N

UTUSAN ONLINE


JERTEH – Sistem pertahanan udara negara bakal diperkukuhkan melalui pembelian pesawat tempur pelbagai guna baru bagi menggantikan MiG-29N melalui peruntukan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Selain itu, penambahbaikan inventori pesawat pejuang sedia ada juga akan dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti teknikal kelengkapan Tentera Udara Malaysia (TUDM).

Panglima TUDM, Jeneral Datuk Rodzali Daud berkata, pembelian pesawat tempur pelbagai guna (MRCA) itu akan memenuhi spesifikasi kebolehan pertempuran yang diinginkan oleh TUDM.

‘‘Dalam blue-print TUDM, kita mengutamakan MRCA. Memang perancangan dalam RMK-10 bukan sahaja untuk menggantikan MiG-29N tetapi juga peningkatan kualiti inventori tempur kita,’’ katanya.

Rodzali berkata demikian kepada pemberita di Pangkalan Tentera Udara Gong Kedak di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak memaklumkan jenis pesawat yang akan dibeli untuk menggantikan MiG-29N itu.

Ujar beliau, TUDM tetap berpuas hati dengan pesawat tempur Sukhoi dan F-A18D yang dimiliki sekarang cuma beberapa bahagian teknikal dan penggunaannya akan ditingkatkan.

‘‘Sebab itulah kita sedang menjalin kerjasama dengan tentera udara dari India yang menghantar pembimbing mereka untuk memberi latihan kepada juruterbang dan juruteknik kita dalam penggunaan pesawat,’’ jelasnya.

Sementara itu, ketika ditanya rancangan pembelian pesawat EC725 keluaran Eurocopter jelasnya, TUDM telah lama menyediakan satu pasukan untuk menilai semua jenis helikopter yang akan digunakan.

Jelas beliau, pasukan terbabit bukan sahaja ditugaskan untuk pesawat dan helikopter yang ada sekarang tetapi juga setiap inventori baru dalam perancangan termasuk EC725.

Tiada ulasan: