Isnin, 5 Oktober 2009

Persidangan Umno Larut semua menang tanpa bertanding

BERNAMA


IPOH: Persidangan perwakilan Umno Bahagian Larut yang berlangsung semalam, selepas tertangguh hampir setahun ekoran kemelut kelayakan calon yang ingin bertanding, menyaksikan kesemua barisan jawatankuasanya kekal tanpa bertanding.

Ketua Bahagian Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata mesyuarat perwakilan semalam berlangsung dalam suasana mesra dan menyaksikan semua jawatan tidak ditandingi.

"Semua jawatan dari pengerusi tetap dan lainlain tidak ditandingi. Saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana akhirnya Umno Bahagian Larut dapat mengadakan sidangnya setelah tertangguh beberapa kali kerana kemelut yang dihadapi," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Persidangan perwakilan bahagian itu tertangguh beberapa kali selepas berlakunya perbalahan antara Raja Ahmad dan Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainuddin yang juga anggota Parlimen Larut yang dicalonkan merebut jawatan berkenaan.

Mesyuarat yang mulanya dijadualkan 2 Nov tahun lalu ditangguhkan beberapa kali selepas Raja Ahmad yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kubu Gajah mengumumkan Umno Larut menolak pencalonan Hamzah atas alasan teknikal.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan persidangan perwakilan bahagian berkenaan di Selama semalam turut mengucapkan tahniah kepada pemimpin dan anggota Umno Bahagian Larut yang menunjukkan kematangan dan semangat bertolak ansur untuk berkompromi.

Muhyiddin berkata semangat permuafakatan yang ditunjukkan itu membanggakan Umno kerana ternyata semua pihak terbabit telah mengetepikan kepentingan peribadi dan mengutamakan kepentingan dan perpaduan parti.

Menulis dalam laman blognya hari ini, Raja Ahmad berharap apa yang telah berlaku dijadikan iktibar untuk memperkukuhkan lagi parti bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Demokrasi tetap wujud dan semangat permuafakatan itu lebih baik kerana ia akan menjadikan Umno lebih kuat kerana tiada sebarang perpecahan...tumpuan sudah tentu bagi menghadapi pilihan raya akan datang," katanya.

Tiada ulasan: