Khamis, 8 Oktober 2009

Perebutan YDP majlis Islam jejas gaji kakitangan

BERNAMA


Ketidaktentuan mengenai siapa yang dipertua (YDP) Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) ketika ini menyebabkan 2,273 kakitangan dan petugas yang berkhidmat dengan majlis itu serta pembekal perkhidmatannya, tidak mendapat gaji dan bayaran mereka bulan ini.

Yang Dipertua MAINPP Shabudin Yahaya berkata, tindakan kerajaan negeri tidak mewartakan pengganti beliau dengan segera menyebabkan urusan menandatangani cek bagi pembayaran gaji, elaun, saguhati dan perkhidmatan untuk bulan Oktober, terjejas.

Katanya, transaksi pembayaran gaji, elaun, saguhati, bil-bil perkhidmatan dan bekalan, penyelenggaraan harta yang didaftarkan di bawah MAINPP berjumlah RM410,700 kini tidak dapat dilaksanakan.

Ketika dihubungi Bernama, beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM369,500 melibatkan pembayaran saguhati, ex-gratia, gaji serta upah manakala bakinya meliputi bil-bil perkhidmatan yang perlu dijelaskan.

Daripada 2,273 orang penerima bayaran MAINPP itu, 797 terdiri pegawai masjid (RM160,000), 1,394 guru KAFA (RM70,000), lima pegawai takmir daerah (RM7,000), 18 kakitangan kontrak dan 22 kakitangan tetap (RM105,000), sembilan kakitangan sambilan (RM10,000), tujuh penggali kubur dan 20 pegawai masjid wakaf (RM15,000) serta seorang kakitangan sekolah agama di Balik Pulau (RM2,500).

Shabudin berkata, semua kakitangan terlibat bimbang dengan perkembangan ini kerana ia menjejaskan kehidupan mereka.

Menurutnya, sebarang cek yang hendak dikeluarkan oleh MAINPP perlu ditandatangani oleh YDP serta dua orang anggota majlis, seorang daripadanya mufti Pulau Pinang.

Apa yang merunsingkan Shabudin ialah semua urusan itu tidak dapat dilaksanakan berikutan kedudukan beliau dan 15 anggota majlis yang dilantik sebelum ini tidak jelas sama ada masih berkuatkuasa atau sudah terbatal berikutan surat perkenan pelantikan YDP baru yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pertengahan bulan Ogos lalu.

Tempoh perkhidmatan Shabudin sebagai YDP dijadualkan tamat pada 31 Disember ini tetapi pelantikan bekas pengarah Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) Ellias Zakaria telah diperkenankan pada pertengahan Ogos lalu.

Kekeliruan timbul apabila kerajaan Pulau Pinang mengumumkan pemilihan Pesuruhjaya PAS negeri Mohd Salleh Man untuk menjawat jawatan itu sebagai janji apabila beliau memenangi pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir pada 25 Ogos lalu.

Shabudin berkata, sebarang keputusan mesyuarat, penandatanganan cek, urusan pengesahan peguam syarie yang dibuat oleh beliau dan 15 anggota majlis ketika ini akan dianggap tidak sah sekiranya kerajaan negeri mengkebelakangkan tarikh pelantikan YDP baru.

"Sebenarnya, tindakan tidak matang kerajaan negeri dalam isu perlantikan YDP baru ini memberi kesan yang sangat besar bukan sahaja dari sudut taat setia kepada titah Seri Paduka malahan pekerja, pembekal perkhidmatan dan sebagainya," katanya.

Katanya, sekiranya kerajaan negeri tidak menyelesaikan isu itu secepat mungkin, tidak mustahil MAINPP akan berdepan dengan tindakan mahkamah daripada penuntut bayaran.

Sementara itu, kerajaan negeri masih membisu berhubung isu YDP MAINPP ini dan sidang akhbar yang dijadual diadakan oleh Timbalan Ketua Menteri I Mansor Othman serta exco hal ehwal agama negeri Abdul Malik Abul Kassim semalam dibatalkan.

Tiada ulasan: