Sabtu, 24 Oktober 2009

Pengemis mula tunjuk kelakuan bahaya

Oleh: IBRAHIM TABIR


KUNAK : Beberapa kumpulan pengemis yang dipercayai ‘warga asing’ mula menunjukkan kelakuan yang berbahaya dan langsung tidak mengendahkan teguran daripada pemandu kenderaan yang berada di stesen minyak di pekan ini dengan memanjat kenderaan atau berhimpit di tepi kenderaan dengan tujuan ‘ingin mendapat ehsan dan sumbangan wang’ daripada pemandu yang sedang mengisi minyak kenderaan mereka di sini.

“Lebih berbahaya, pemandu yang selesai mengisi minyak dan menggerakkan kenderaan mereka terpaksa lebih berhati-hati untuk mengelak terlanggar kumpulan pengemis itu yang menghimpitkan badan mereka di tepi kenderaan”, kata anggota Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kunak, Citra Masadi yang jengkel melihat situasi itu kerana sudah lama berlarutan tanpa adanya penguatkuasaan yang berkesan daripada pihak berkenaan.

Citra berkata, orang awam juga bersimpati dengan nasib mereka ini , “Tetapi tak kan setiap hari kita nak bagi wang sama mereka (pengemis) itu”, katanya.

Keadaan itu sudah berlarutan sejak sebelum Ramadan yang lalu dan berlanjutan hingga ke hari ini .

“Saya tidak tahu sama ada ‘terdapat kebenaran’ untuk mengemis bagi kumpulan tersebut kerana pengemis-pengemis itu seolah-olah sudah ‘menguasai’ kawasan stesen minyak Esso dan termasuk kawasan berdekatan mesin teller automatik (ATM) Maybank di pekan ini”, katanya.

Pernah suatu ketika, kanak-kanak pengemis itu diherdik oleh orang ramai kerana mengganggu situasi orang yang sedang berbaris menunggu giliran dekat mesin ATM di luar premis Maybank, di sini, ujarnya.

“Kita nak kasihan sama mereka, tapi sampai bila keadaan yang ‘tidak menyenangkan’ ini berterusan”, katanya kepada Daily Express dan menggesa pasukan penguatkuasa Majlis Daerah Kunak membuat suatu tindakan proaktif dan berkesan bagi membendung gejala pengemis yang sudah menular di kawasan pekan itu.

Citra berkata, beliau yakin pasukan penguatkuasa Majlis Daerah boleh melakukan tindakan yang sewajarnya dalam perkara ini berdasarkan undang-undang sedia ada .
Menurutnya, kumpulan pengemis itu adalah dikalangan masyarakat Palauh yang terdiri daripada kanak-kanak dan orang tua. Biasanya, kanak-kanak itu membimbing tangan orang tua dan kemudian meminta ehsan dan simpati daripada orang awam di tempat yang disebutkan.

Jika diteliti, golongan ini ada yang rajin berusaha sendiri tanpa mengemis dan meminta-minta di khalayak ramai.

Citra berkata, ada sesetengah daripada kumpulan mereka yang berdikari dengan menjual ikan di kawasan tepi Jalan utama di Pangkalan Kunak dan sekita pekan.

“Oleh itu, mustahil bagi kumpulan pengemis ini untuk terus melakukan aktiviti mengemis jika mereka ada keyakinan untuk berdikari seperti rakan-rakan dari kumpulan itu yang mencari wang dengan titik keringat sendiri”, kata Citra.

Tiada ulasan: