Sabtu, 10 Oktober 2009

Pemimpin PAS pertahan kenyataan insiden kekerasan

Salhan K Ahmad


Pemimpin jentera pilihan raya PAS mempertahankan kenyataannya sebelum ini berhubung satu insiden pada awal pagi Khamis yang didakwa melibatkan kekerasan oleh penyokong BN ke atas petugas PAS di Bagan Pinang.

Bercakap di sidang media hari ini, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub turut meminta pihak polis memohon maaf kepadanya kerana didakwa memfitnahnya dalam satu laporan akhbar hari ini.

Salahuddin juga berkata beliau telah memberikan kenyataan saksi di bawah Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson semalam berhubung penyebaran gambar dan juga laporan Harakahdaily pada Rabu.

Jelasnya lagi, beliau telah memberi kerjasama penuh kepada pihak polis ketika hadir ke balai berkenaan pada jam 6.45 petang semalam.

"(Datuk Osman Salleh kata) saya tidak mahu bekerjasama. Ini satu fitnah, ini tuduhan liar," katanya ketika mengulas kenyataan Ketua Polis Negeri Sembilan itu semalam yang berkata beliau telah gagal hadir ke Balai Polis berkenaan untuk diambil keterangan.

"Pada jam 6.45 petang semalam, saya telah hadir ke IPD Port Dickson dan saya telah beri kerjasama dengan polis," kata Salahuddin lagi.

Osman, yang dipetik kenyataannya dalam laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini sebagai berkata polis telah menghubungi Salahuddin "tetapi sehingga hari ini pemimpin PAS itu gagal berbuat demikian."

Osman dalam laporan itu juga dilaporkan berkata kenyataan yang dikeluarkan Salahuddin itu "mengelirukan orang ramai" dan pihaknya akan menyiasat kes melibatkan pemimpin PAS itu bawah Seksyen 111 Kanun Perkara Jenayah.

Salahuddin, bagaimanapun dalam sidang media hari ini tidak mengulas lanjut mengenai foto yang disiarkan dalam satu laporan Harakahdaily pada Rabu dan juga diedarkan kepada media pada hari berkenaan.

Foto berkenaan, yang menunjukkan seorang lelaki berbaju kemeja-t lengan panjang berwarna merah gelap yang berdarah di bahagian kepala dan koyak

Sebaliknya, beliau sekadar berkata: "Apa-apa yang berkaitan kecederaan, keganasan yang dilakukan yang telah saya dedahkan, saya bertanggungjawab".

"Saya gentleman. Saya hadir dan memberikan keterangan. Pihak polis yang harus bertanggungjawab dalam isu ini," katanya lagi.
Ketika dihubungi selepas itu, Salahuddin menegaskan bahawa gambar-gambar berkenaan adalah tulen dan bukan sesuatu yang direka-reka oleh PAS.

"Saya yakin dengan apa yang telah saya dedahkan," katanya kepada Malaysiakini.

Pengarah operasi pilihan raya PAS Dr Dzulkefly Ahmad pula pula berkata foto yang disiarkan Harakahdaily itu juga tulen dan mangsa di dalam laporan berkenaan merupakan mangsa yang sama yang membuat laporan polis.

"Saya difahamkan, itulah mangsa sebenar. Insidennya (yang dilaporkan) juga adalah insiden yang sama... Kita tidak mereka-reka perkara ini," katanya ketika ditemui di sidang media di markas induk pilihan raya Bagan Pinang di Batu 3, Port Dickson hari ini.

Jelasnya lagi, mangsa berkenaan juga telah tampil pada sidang media PAS pada hari Khamis, dan mangsa juga telah diperkenalkan kepada media.

Peguam parti PAS, Hanipa Maidin pula berkata, beliau yakin foto yang disiarkan oleh Harakahdaily itu adalah tulen.

"Saya yakin ianya tulen. Ianya bukan direka-reka," kata Hanipa ketika ditemui selepas menyampaikan satu ceramah di Taman PD Utama, Port Dickson malam tadi.

Beliau juga yakin Harakahdaily telah bertindak dengan betul dalam melaporkan perkara berkenaan

"Saya yakin mereka tahu batas-batasnya. Tapi atas sebab apa pun, ia telah membuktikan berlakunya kekerasan oleh BN terhadap petugas PAS," katanya lagi.

Katanya lagi, beliau juga telah menemani Salahuddin ketika memberi keterangan kepada polis semalam.

Tiada ulasan: