Isnin, 12 Oktober 2009

Pemimpin MCA diminta henti ulas kedudukan Ong

Oleh Magendran Rajagopal


KUALA LUMPUR: Pemimpin MCA diminta berhenti mengulas mengenai kedudukan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat kerana beliau tidak diwajibkan meletak jawatan walaupun Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM), kelmarin meluluskan undi tidak percaya terhadapnya.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Wong Foon Meng, berkata Jawatankuasa Pusat (CC) parti menghormati keputusan 2,304 perwakilan pada EGM, tetapi Perlembagaan MCA menetapkan presiden hanya boleh disingkirkan dengan persetujuan majoriti dua pertiga per-wakilan.

Sehubungan itu, katanya, Ong sudah dinasihati jangan membuat sebarang keputusan sebelum CC bermesyuarat bagi membincangkan hasil EGM.

“Mesyuarat CC Khamis ini akan menentukan kedudukan Ong dengan mengambil kira semua opsyen demi kepentingan parti, masyarakat dan Barisan Nasional (BN).

“Justeru, saya mohon semua pihak, terutama pemimpin dan ahli MCA, supaya jangan membuat sebarang andaian, spekulasi atau terjemahan tersendiri berhubung keputusan EGM, sebaliknya tunggulah sehingga CC selesai bermesyuarat.

“Buat masa sekarang, status Ong tidak berubah dan terpulang kepada CC untuk menentukan sama ada kekal status quo atau barisan kepimpinan baru perlu dilantik,” katanya pada sidang media di ibu pejabat MCA di sini, semalam.

Selain menolak kepemimpinan Ong, EGM itu turut menolak usul mengembalikan kedudukan bekas timbalannya yang kini digantung jawatan, Datuk Dr Chua Soi Lek.

Bagaimanapun, Dr Chua menang dengan perbezaan 109 undi dalam usul mengenai penerimaan semula beliau sebagai ahli MCA.

Keputusan itu sekali gus membatalkan keputusan Majlis Presiden MCA pada 26 Ogos lalu untuk menerima cadangan Lembaga Disiplin dan kemudian keputusan CC parti bagi menyingkir atau menggantung Dr Chua.

Wong menjelaskan, keputusan itu bermakna Dr Chua, yang juga Pengerusi MCA Bahagian Batu Pahat masih berstatus perwakilan dan boleh bertanding bagi mana-mana jawatan sekiranya mesyuarat CC, Khamis ini memutuskan untuk mengadakan pemilihan baru.

Ditanya kenapa CC menunggu sehingga Khamis ini untuk membincangkan kemelut MCA, Wong berkata, setiap mesyuarat CC atau Majlis Presiden (PC) memerlukan notis sekurang-kurangnya tiga setengah hari.

Menjawab soalan yang mana antara EGM dan CC lebih berkuasa dan perlu dipatuhi, Wong enggan menjawab.

Tiada ulasan: