Rabu, 21 Oktober 2009

Peguam tidak puas hati prosedur siasatan Polis

Oleh : Ibrahim Tabir


KUNAK : Peguam yang mewakili pekebun-pekebun kecil di Tingkayu mendedahkan bahawa siasatan berhubung kes ‘kecurian’ buah kelapa sawit milik pekebun kecil baru-baru ini , di sini sepatutnya disiasat dengan lebih terperinci dan adil tanpa memihak kepada mana-mana individu.

Peguam dari Tanggar & Co., Valentino James Tanggar berkata, telah berlaku kes kecurian buah kelapa sawit milik pekebun kecil di Tingkayu baru-baru ini yang mana kes berkenaan telahpun dilaporkan kepada pihak Polis Kunak dan tangkapan telah dilakukan ke atas kenderaan beserta buah kelapa sawit dan individu yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut.

Bercakap kepada Daily Express, Valentino berkata, kenderaan terbabit jenis Storm pacuan empat roda yang digunakan dalam kejadian itu turut dimuatkan dengan buah kelapa sawit ‘dipercayai dicuri’ dari ladang pekebun kecil berkenaan - telahpun ditahan di balai polis Kunak selepas laporan dibuat sebelum ini.

“Bagaimanapun, saya kecewa kerana bahan bukti (buah sawit) yang ditahan dalam balai itu telah dikeluarkan , entah untuk tujuan apa?”, kata Valentino yang kecewa dengan prosedur siasatan kes berkenaan.

Seorang daripada pekebun kecil yang juga anakguamnya telah menghubungi beliau (Valentino) berkenaan kes tersebut yang menurutnya berlaku ‘kelalaian’ dalam proses siasatan oleh pihak Polis .

Valentino berkata, beliau telahpun menghubungi pihak Polis di Kunak mengenai kejadian itu tetapi : “Bagaimana siasatan hendak dilakukan jika bahan bukti (buah kelapa sawit) sudah dijual atau dikeluarkan dari balai polis?

Siapa yang mahu bertanggungjawab dalam perkara ini. “, soal beliau , sambil menyatakan ia suatu perkara yang serius.

Menurutnya, kes Tingkayu masih dalam proses perbicaraan di Mahkamah berhubung pertikaian hak pemilikan antara 141 orang pekebun kecil dan Syarikat Kerjasama Perkembangan Tanah Tingkayu Berhad (SKPTTB).

“Injunksi dari Mahkamah Tinggi Tawau perlu dihormati dan pihak syarikat koperasi juga tidak berhak untuk menyatakan yang tanah itu hak mutlak mereka”, katanya tegas.

Sementara itu, Valentino dan beberapa orang pekebun kecil bersama Pengerusi Syarikat koperasi berkenaan, Hajah Alina Usman Suing telah mengadakan perjumpaan berdekatan simpang masuk ke ladang kelapa sawit itu di Tingkayu pada 16 Oktober lepas dan berbincang mengenai kes tersebut .

Valentino berharap pihak Polis Sabah menjalankan siasatan terperinci dan adil berhubung kes kecurian buah sawit yang berlaku baru-baru ini.

Dalam pada itu, menurut Pengerusi syarikat koperasi, Hajah Alina Usman Suing dalam pertemuan bersama peguam yang mewakili pekebun kecil tersebut di situ pada 16 Oktober - antara lain Alina menjelaskan adalah tidak adil untuk menyatakan bahawa buah kelapa sawit itu dicuri dari ladang pekebun kecil sedangkan geran tanah tersebut didaftarkan atas nama syarikat koperasi berkenaan .

Usaha mendapatkan respon daripada Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah daerah Kunak , ASP Tan Hiap Wah masih gagal.

Tiada ulasan: