Isnin, 12 Oktober 2009

Peguam Manohara tarik diri

BERNAMA


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan firma guaman Fakrul Hisham Abdullah and Associates untuk menarik diri daripada mewakili isteri dan ibu mertua Tengku Temenggong Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra dalam kes saman fitnah RM105 juta.

Penolong Kanan Pendaftar Shazali Hidayat Shariff, yang membenarkan permohonan itu, turut mengarahkan supaya firma guaman berkenaan menyerahkan perintah penarikan diri kepada Manohara Odelia Pinot dan ibunya Daisy Fajarina sebelum 28 Okt.

Mahkamah menetapkan kes itu disebut semula pada 29 Okt bagi memastikan perintah penarikan diri itu diserahkan dengan sempurna kepada kedua-dua defendan, yang kini berada di Indonesia.

Pada 25 Sept lalu, firma guaman itu yang diwakili peguam Noor Hisham Abdullah, memfailkan permohonan menarik diri daripada mewakili Manohara dan Daisy atas alasan tidak mendapat kerjasama sepenuhnya daripada kedua-dua defendan itu, yang menyebabkan persediaan dokumen berkaitan pembelaan kes itu sukar dilakukan.

Firma berkenaan, yang telah dilantik mewakili Manohara dan Daisy pada 30 Julai lalu, telah menyerahkan notis awal penarikan diri kepada anak guam mereka melalui pos berdaftar ke Jakarta pada 20 Sept dan 5 Okt lepas.

Sehingga kini, Manohara dan Daisy masih belum memfailkan pembelaan mereka terhadap tuntutan saman Tengku Muhammad Fakhry di mahkamah.

Peguam Mohd Haaziq Pillay, yang mewakili Tengku Muhammad Fakhry, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah memberitahu jika Manohara dan Daisy melantik peguam baru, mereka mempunyai masa 14 hari untuk memfailkan pembelaan dan jika gagal, penghakiman ingkar akan diperoleh terhadap kedua-duanya.

Pada 20 Julai lalu, Tengku Muhammad Fakhry mengemukakan saman fitnah RM105 juta terhadap isteri dan ibu mertuanya kerana didakwa memfitnahnya pada sidang akhbar, antara April dan Jun lepas.

Selain saman fitnah itu, Manohara dan ibunya juga menghadapi dua lagi saman di Mahkamah Rendah dan Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu yang juga difailkan Tengku Muhammad Fakhry pada 5 Julai bagi menuntut isterinya kembali taat kepadanya dan mengembalikan semula hutang sebelum dan selepas berkahwin sebanyak RM972,750.

Tiada ulasan: