Sabtu, 24 Oktober 2009

PAS Terengganu Berjaya Meletakkan Batu Asas Pemerintahan Islam


http://www.buletinonline.net/images/stories/Berita12/expasti.JPGMARANG - Negeri Terengganu mempunyai sejarah dan kehebatan serta keistimewaan tersendiri, sebagai sebuah ’negeri Islam’ berbanding negeri-negeri lain.

‘Batu Bersurat’ yang dijumpai di Terengganu pada abad ke-13 masehi membuktikan bukan hanya rakyatnya memeluk Islam tetapi kerajaannya juga sebuah kerajaan Islam.

“Alhamdulillah, negeri Terengganu ini mempunyai keistimewaan yang hebat bukan sahaja negeri kita meninggalkan satu tanda yang hebat iaitu ‘Batu Bersurat’ yang menunjukkan bukan sahaja rakyat Terengganu yang masuk Islam termasuk kerajaan negeri Terengganu juga masuk Islam,”kata Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

(Gambar - Presiden PAS melancarkan Ex-Pasti, persatuan pelajar-pelajar lepasn Pusat Asuhan Tunas Islam Terengganu)

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Jubli Perak Pasti Negeri Terengganu di perkarangan Masjid Rusila, Marang, semalam, 22 Oktober .

Namun, menurutnya, kerajaan Islam Terengganu jatuh ke tangan penjajah pada tahun 1928 serta campurtangan Inggeris sepenuhnya pada tahun 1948.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Marang menjelaskan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Terengganu menjadi negeri pertama menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 1959.

Selepas itu, katanya negeri Kelantan pula dikuasai oleh PAS tetapi usia pemerintahan PAS Terengganu tidak panjang.

Katanya, keistimewaan lain yang dimilik oleh PAS Terengganu adalah kerana berjaya meletakkan batu asas pemerintahan Islam pada gelombang kedua kemenangan pada tahun 1999-2004.

“Kerajaan kita (Islam Terengganu) jatuh pada tahun 1928 dan campurtangan Inggeris sepenuhnya pada tahun 1948 selepas itu Islam tidak ada kuasa sepenuhnya.

http://www.buletinonline.net/images/stories/Berita12/perkenansultan.jpg“Alhamdulillah, tahun 1959 parti PAS mula menang di Terengganu kerana kurnia Allah Ta’ala, selepas itu baru Kelantan.

“Walau pun kita (PAS Terengganu) jatuh dahulu daripada Kelantan tetapi kita (PAS) berjaya meletakkan asas lebih dahulu daripada Kelantan.

“Termasuklah, selepas kita (PAS) menang gelombang yang kedua tahun (1999-2004). Kemenangan kita (PAS) tahun 1999, walau pun satu penggal sahaja, kita (PAS) telah berjaya meletakkan batu asas bagi pemerintahan Islam yang tidak mampu diletakkan di negeri-negeri lain termasuk di Kelantan sendiri,” jelasnya.

Ustaz Abdul Hadi berkata PAS berjaya mewujudkan Perlembagaan Islam dengan meletakkan Al-Quran dan Sunnah sebagai Undang-undang Tubuh Diri Kerajaan Negeri Terengganu.

“Kita (PAS) telah berjaya mewujudkan Perlembagaan Islam dengan meletakkan hukum yang tertinggi ialah al-Quran, Hadis, Ijma’ dan Qias.

“Ini ditulis dalam Undang-undang Tubuh Diri Negeri Terengganu dan hingga hari ini Umno tidak berani buang, Umno takut hendak buang.

“Kita (PAS) luluskan Undang-undang Islam bagi negeri Terengganu. Undang-undang yang berkait dengan Pentadbiran Agama Islam, Jenayah Qisas, Hudud dan Ta’azir dan pelbagai undang-undang lagi yang kita (PAS) telah luluskan,” tegasnya.

Menurut Dato’ Seri Abdul Hadi semua undang-undang tersebut telah dirasmikan dan digazetkan apabila Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menandatanganinya.(Gambar kanan)

Oleh itu, katanya PAS mempunyai tanggungjawab yang besar dan rakyat Terengganu pula mempunyai kesedaran yang sangat tinggi dalam berpolitik.

“Kita (PAS) mempunyai tanggungjawab yang sangat besar. Rakyat Terengganu mempunyai kesedaran yang sangat tinggi, yang sangat hebat. Kita (PAS) mempunyai asas yang sangat besar, mengandungi pengundi-pengundi teras yang sangat ramai di negeri Terengganu.

“Cuma kita (PAS) tewas dengan penipuan yang dibuat oleh Umno dan Barisan Nasional (BN). Apa yang penting kita (PAS) kena kerja lebih kuat lagi untuk mengembalikan kerajaan kita untuk kita berdiri di atas tapak yang telah kita (PAS) bina itu,” jelasnya dan menegaskan, PAS Terengganu akan menjadi model di seluruh negara malah di seluruh dunia.

Tiada ulasan: