Sabtu, 10 Oktober 2009

Pas sudah beri 253 nama bertindih

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM - Dakwaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa Pas tidak membangkitkan isu pertindihan nama pengundi dalam daftar pemilih di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang adalah tidak tepat, kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali.

“Kenapa pula kata saya tidak bangkitkan isu itu? Saya sudah pun beri senarai nama kepada SPR dalam pertemuan rasmi di Putrajaya petang kelmarin dan pihaknya menerima," katanya ketika diminta mengulas kenyataan SPR yang menyatakan Mustafa langsung tidak membangkitkan isu itu.

Menurutnya, setelah mengesan 253 nama bertindih pada undi pos berdaftar itu, Pas segera bertindak untuk menemui SPR agar masalah itu dapat ditangani segera.

“Sebab itu kita berjumpa dengan SPR untuk bincangkan perkara itu. Hasil pertemuan itu, SPR berkata tidak boleh dikeluarkan sebab sudah disahkan dalam daftar pemilih. Jadi badan berwajib itu bersetuju untuk memberikan komitmen untuk melakukan pembersihan supaya tidak berlaku pertindihan nama,” katanya.

Menyentuh isu kemungkinan Pas memohon perintah injunksi mahkamah bagi menangguhkan pilihan raya kecil itu jika SPR tidak membersihkan nama-nama bertindih dalam daftar pemilih yang dikeluarkannya, beliau berkata, kepimpinan Pas akan membincangkan perkara itu.

Tiada ulasan: