Isnin, 26 Oktober 2009

Pameran salasilah raja di Istana Lama Seri Menanti

BERNAMA


KUALA PILAH: Rakyat Negeri Sembilan berpeluang mengenali dengan lebih dekat institusi diraja dan keluarga diraja negeri itu dengan mengunjungi Pameran Raja Kita di Istana Lama Seri Menanti.

Pameran itu diadakan sempena pertabalan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 hari ini. Tuanku Muhriz telah berkenan merasmikan pameran itu kelmarin.

Pameran secara percuma itu diadakan bagi menyalurkan maklumat dan pengetahuan kepada orang ramai mengenai peranan dan sumbangan Tuanku Muhriz sebagai pemerintah, meliputi pelbagai aspek yang tinggi nilai warisan sejarah dan estetikanya.

Pameran itu usaha murni untuk mengumpul, memelihara dan menyebarkan maklumat kepada masyarakat berkaitan sejarah institusi diraja Negeri Sembilan sejak dari zaman pemerintahan Raja Melewar yang berasal dari Pagar Ruyung, Sumatera.

Antara yang dipamerkan potret baginda dan keluarga, persalinan diraja, salasilah diraja dan replika alat kebesaran diraja seperti payung kuning, tombak berambu, keris panjang, pedang panjang dan tonggol.

Pameran yang memaparkan institusi diraja Negeri Sembilan, biografi, peranan dan sumbangan baginda kepada rakyat Negeri Sembilan, terbuka kepada semua termasuk pengkaji artifak.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri Datuk Mohammad Razi Kail berkata pameran itu yang bermula semalam akan kekal untuk tempoh yang belum diputuskan.

Pameran ini adalah satu medium yang memberi pendedahan serta merapatkan jurang antara institusi diraja negeri ini dengan rakyat," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Menurutnya inisiatif seperti itu diambil bagi memelihara dan memartabatkan lagi warisan sejarah yang tinggi nilainya.

Tiada ulasan: