Selasa, 6 Oktober 2009

Padang mula bangkit

Sekolah, pasar dibuka bantu mangsa gempa

Laporan - Agensi


PADANG: Pasar dibuka dan kanak-kanak juga kembali ke sekolah, tetapi di pedalaman, beberapa kampung yang tertimbus akibat tanah runtuh terpaksa dibiarkan sebagai kubur besar selepas usaha mencari dan menyelamat mangsa gempa dihentikan.

Ada kanak-kanak yang pergi ke sekolah ketika usaha memulihkan semula keadaan berjalan. Di tempat lain, khemah digunakan untuk mengadakan kelas.

"Bangunan sekolah selamat tetapi kami tiada kuasa elektrik dan bekalan air," kata Tri Raswati, 17, di Sekolah Tinggi 3, Padang Timur.

Pembukaan kelas sebahagian besarnya adalah simbolik, hanya beberapa ratus kanak-kanak berpeluang berjumpa guru dan menerima kaunseling akibat trauma, termasuk kematian saudara mara serta tidak berumah.

"Kerajaan menggesa kelas dimulakan secepat mungkin supaya mereka boleh kembali kepada keadaan normal," kata Amson Simbolon, pegawai pendidikan Unicef, ketika kelas matematik bermula untuk kira-kira 300 murid di satu sekolah di sini.

Unicef menyediakan 15 khemah, setiap satu boleh memuatkan 50 hingga 60 kanak-kanak.

PENIAGA buah-buahan dan ikan menunggu pembeli dekat sebuah pasar di Padang, semalam.

Seorang pegawai tempatan berkata, usaha membina semula mungkin mengambil masa dua tahun atau lebih.

"Jika kita melihat pengalaman pada 2007 ketika gempa dengan kekuatan 7.9 skala Richter melanda bandar ini, kami perlu sekurang-kurangnya dua tahun membangunkan semula Sumatera Barat," kata Ade Edward, ketua Unit Pengurusan Bencana dan Pelarian Sumatera Barat.

Sementara itu, pekerja penyelamat menghentikan pencarian sebaliknya memfokus untuk memberi bantuan kepada mangsa yang masih hidup.

"Sehingga sekarang, saya anggap sukar untuk menjumpai ramai mangsa yang masih hidup," kata Ignacio Leon, ketua agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Indonesia.

"Saya tidak mahu memutuskan harapan penduduk, namun fokusnya akan berubah dan kami akan menyokong kerajaan lebih lagi di bahagian bantuan," katanya.

Jumlah kematian akibat gempa Rabu lalu di Sumatera Barat dijangka mencapai beribu-ribu orang sebaik saja mangsa yang hilang diisytiharkan terkorban. PBB berkata, 1,100 orang maut sementara kerajaan meletakkan jumlahnya 603 orang.

Tidak dapat dipastikan jumlah mereka yang kehilangan rumah. Tetapi, agensi bencana alam Indonesia berkata, 180,000 buah rumah dan 20,000 bangunan musnah.

Dalam perkembangan lain, Agensi Meteorologi, Kaji Cuaca dan Geofizik mengesan 582 gempa susulan di Sumatera Barat sejak dilanda gempa bumi 7.6 skala Richter.

"Gempa susulan terus melanda, namun pada tahap sederhana," kata ketua pejabat agensi Padangpanjang, Taufik Gunawan.

Beliau memberi amaran bahawa Sumatera Barat terdedah kepada gempa besar kerana ia terletak dalam plet tektonik Indo-Australia yang rapuh dan justeru penduduk di wilayah itu perlu tahu mengenai prosedur menghadapi bencana.

Tiada ulasan: