Selasa, 6 Oktober 2009

Oktober diisytiharkan Bulan Bahasa Kebangsaan

BERNAMA


KUCHING — Selaras dengan keputusan kerajaan untuk mengisytiharkan Oktober sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan, semua kementerian, kerajaan negeri dan agensi kerajaan diarah melaksanakan program bahasa peringkat masing-masing sepanjang bulan itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu adalah usaha kerajaan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan bahasa kebangsaan sebagai wahana perpaduan serta bahasa komunikasi.

“Kegiatan-kegiatan bahasa dan persuratan kebangsaan akan dipertingkatkan sepanjang bulan ini untuk menyemarakkan lagi penggunaan bahasa kebangsaan di kalangan masyarakat kita,” katanya pada pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan, peringkat kebangsaan di Stadium Perpaduan, Petra Jaya di sini hari ini.

Sarawak dipilih menjadi tuan rumah bagi majlis bertema “Bahasa Jiwa Bangsa” itu kerana terdapat pelbagai kaum yang hidup penuh harmoni dan dapat menjadi ikon konsep 1Malaysia.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata pelbagai acara yang dianjurkan sepanjang bulan ini memberikan kesempatan kepada rakyat untuk melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan bahasa dan persuratan kebangsaan.

Tiada ulasan: