Jumaat, 9 Oktober 2009

Nasha Aziz diarah bayar ganti rugi RM10,000 kepada bapa

BERNAMA




Reaksi aktres dan model Nasha Aziz (kiri) dan bapanya Abdul
Aziz Mohd Ali di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini. -foto Bernama

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan aktres dan model Nasha Aziz membayar ganti rugi am RM10,000 kepada bapanya, Abdul Aziz Mohd Ali, dalam kes saman fitnah yang difailkan bapanya terhadapnya.

Hakim Datuk Abdul Wahab Patail membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Abdul Aziz bagi membuat penghakiman selepas Nasha dan peguamnya tidak hadir pada perbicaraan kes itu Rabu lepas.

Bagaimanapun, Nasha hadir hari ini ke mahkamah tanpa peguam yang mewakilinya dalam kes itu, Rashid Mokhtar.

Hakim Abdul Wahab juga memerintahkan Nasha membayar faedah lapan peratus setahun kepada bapanya dari tarikh saman difailkan iaitu pada 31 Mac 2005 sehingga penyelesaian penuh saman itu.

Beliau bagaimanapun tidak memberi ganti rugi tambahan seperti yang diminta oleh Abdul Aziz kerana saman itu melibatkan perkara dalam keluarga.

Hakim Abdul Wahab dalam penghakimannya berkata beliau mendapati Abdul Aziz selaku plaintif berjaya membuktikan dia telah difitnah oleh Nasha selaku defendan apabila Nasha dalam artikel yang diterbitkan Utusan Malaysia pada 24 Okt 2004, menyatakan dia (Nasha) hanya mempunyai seorang ayah sahaja.

Hakim Abdul Wahab berkata mahkamah menerima pernyataan tuntutan Abdul Aziz bahawa akibat perkataan itu, Abdul Aziz telah dipandang rendah dan dikatakan berbohong bahawa Nasha itu adalah anak kandungnya.

Abdul Aziz, 61, seorang guru silat, yang hadir di mahkamah, mengemukakan saman terhadap Nasha, yang nama sebenarnya Noraishah Abdul Aziz, berhubung artikel dalam akhbar Mingguan Malaysia yang mendakwa Abdul Aziz bukan bapa kandungnya.

Abdul Aziz dalam pernyataan tuntutannya berkata beliau adalah bapa kandung Nasha dan mendakwa perkataan fitnah di dalam artikel itu bertajuk "Jangan tanya hal peribadi", dalam keluaran akhbar bertarikh 24 Okt, 2004 telah menyebabkan perasaan beliau terseksa, memalukan dan mencemarkan maruahnya.

Beliau memohon ganti rugi, faedah, kos dan faedah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah dengan mendakwa artikel itu boleh difahamkan sebagai bermaksud yang beliau sudah meninggal dunia.

Nasha, dalam pernyataan pembelaannya menjelaskan bahawa perkataan "bapa" dalam temu bual dengan akhbar itu adalah merujuk kepada bapa saudaranya, Abdul Aziz Hathim, yang membesarkannya.

Pelakon itu tidak menafikan bahawa Abdul Aziz ialah bapa kandungnya tetapi beliau menganggap bapa saudaranya sebagai bapa dalam hidupnya.

Hakim Abdul Wahab dalam penghakimannya bagaimanapun tidak menerima hujahan peguam M.Visvanathan, yang mewakili Abdul Aziz, bahawa artikel itu bermaksud Abdul Aziz telah meninggal dunia kerana Nasha dalam artikel itu merujuk ayah yang meninggal dunia itu sebagai bapa saudaranya yang menjaganya.

Beliau juga tidak menerima hujahan Visvanathan bahawa Nasha dalam artikel itu bermaksud Abdul Aziz bukan bapa kandung Nasha kerana Nasha tidak menyatakan dia (Abdul Aziz) adalah bukan bapa kandungnya.

Beliau berkata walaupun nama bapa kandung Nasha dan bapa saudaranya sama iaitu Abdul Aziz tetapi nama penuhnya berbeza dan masyarakat perlu melihat keseluruhan nama itu sebelum membuat sebarang kesimpulan.

Sebelum Hakim Abdul Wahab membacakan penghakimannya, Nasha yang hadir memberi penjelasan kepada mahkamah bahawa beliau tidak tahu mengenai tarikh bicara yang ditetapkan pada Rabu lepas.

"Saya hanya tahu melalui akhbar Metro dan Berita Harian mengenai kes ini. Saya cuba menelefon peguam Rashid Mokhtar tetapi tiada jawapan. Saya buat keputusan untuk hadir sendiri. Pohon mahkamah beri peluang untuk dapatkan peguam bagi mengetahui kedudukan saya dalam kes ini," katanya.

Hakim Abdul Wahab berkata pelupusan kes di mahkamah tidak dapat berjalan secara teratur jika peguam gagal hadir pada tarikh yang ditetapkan dan ketidakhadiran peguam tidak seharusnya menghalang daripada mahkamah melupuskan kes.

Selepas keputusan itu, Nasha yang ditemui pemberita, berkata beliau menerima keputusan itu dengan baik tetapi berharap mahkamah akan memberi peluang baginya membuat penjelasan mengenai kes itu.

Beliau menjelaskan perkataan ayah dalam artikel itu adalah bermaksud bapa saudaranya yang menjaganya.

Ketika ditanya apa panggilan beliau kepada bapa kandungnya, Nasha menjawab "Saya tidak memanggilnya ayah tapi dengan nama lain. Saya memanggil ibu angkat (ibu saudara yang menjaganya) saya adalah ibu dan emak kandung saya adalah mummy."

Semasa ditanya sama ada beliau akan membuat rayuan terhadap keputusan hari ini, Nasha berkata beliau akan mendapat khidmat peguam yang arif mengenai perkara itu.

Abdul Aziz pula berkata beliau menerima keputusan itu dengan tenang.

Tiada ulasan: