Jumaat, 23 Oktober 2009

Najib: Kerajaan gubal Akta Pendedah Salah Laku bagi perangi rasuah

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Akta Pendedah Salah Laku akan digubal bagi menggalakkan pemberi maklumat tampil membuat pendedahan jenayah rasuah dan salah laku yang lain, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mengumumkan perkara itu ketika membentangkan Bajet 2010 di Parlimen hari ini, Perdana Menteri berkata akta itu akan memberi kekebalan kepada pemberi maklumat daripada dikenakan tindakan sivil atau jenayah akibat pendedahan yang dilakukan.

Penggubalan akta itu adalah antara langkah pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) kerajaan untuk memerangi rasuah ke arah membentuk masyarakat yang bersih dan dihormati.

Bagi melaksanakan NKRA itu, Najib mengumumkan bahawa 14 buah lagi Mahkamah Sesyen Khas Rasuah dan empat Mahkamah Tinggi Khas Rayuan Kes Rasuah akan ditubuhkan.

Pada masa ini hanya terdapat dua buah mahkamah khas tersebut di Kuala Lumpur dan dua lagi di Shah Alam.

Najib juga berkata usaha meningkatkan imej Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dilakukan termasuk mengadakan persidangan memerangi rasuah peringkat antarabangsa, kempen kesedaran melalui media massa dan menjalin hubungan baik dengan masyarakat.

Beliau berkata langkah-langkah yang diambil bertujuan meningkatkan lagi keyakinan dan persepsi masyarakat dalam membanteras rasuah di kalangan anggota penguatkuasa dan pentadbiran awam serta memastikan proses prosedur perolehan kerajaan dipatuhi.

"Langkah ini akan dapat memastikan negara berada di kedudukan yang lebih baik dalam Indeks Persepsi Rasuah antarabangsa," katanya.

Tiada ulasan: