Isnin, 26 Oktober 2009

MRSM Kepala Batas terbengkalai

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM - Kontraktor yang dipertanggungjawabkan melaksanakan Projek Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kepala Batas gagal menyiapkan projek tersebut walaupun diberi lanjutan masa selama 251 hari.

Laporan Ketua Audit Negara 2008 mendedahkan kegagalan tersebut menyebabkan bangunan MRSM tersebut belum memperoleh sijil Layak Menduduki sehingga kini Sijil Perakuan Siap Kerja juga tidak dapat dikeluarkan.

“Tiada denda ataupun ganti rugi yang ditetapkan dikenakan terhadap kontraktor tersebut oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara),” kata laporan itu.

Di samping itu, bangunan yang disiapkan mempunyai kecacatan dan kurang berkualiti, berlaku kebocoran paip dan resapan air yang serius di asrama serta kuaters guru.

“Ekoran itu ia meninggalkan kesan ketara di dinding, kemudahan di pavilion dan di padang tidak dapat digunakan disebabkan ia tidak dibuat mengikut spesifikasi,” katanya dalam Laporan Audit Badan Berkanun Persekutuan.

Pemeriksaan Audit terhadap pelan pembinaan projek mendapati ada kemudahan yang disediakan kontraktor tidak mengikut kehendak spesifikasi yang ditetapkan Mara seperti yang dinyatakan dalam ‘project brief’ kontrak.

Antara kemudahan yang tidak disediakan kontraktor adalah Klinik rawatan, ampaian berbumbung, 3 bilik di pusat pelajar dan sebuah pondok menunggu berhampiran kafeteria.

Mara terpaksa menggunakan khidmat kontraktor lain bagi membina bumbung asrama lelaki dan wanita yang melibatkan kos tambahan sebanyak RM88,500.

MRSM Kepala Batas antara maktab baru yang dirancang pembinaannya di bawah RMK-8 dengan anggaran kos RM47 juta.

Tempoh kontak siapprojek yang dibina di atas kawasan 26.30 hektar melalui kaedah reka dan bina ini adalah dua tahun antara Ogos 2004 hingga 2006.

Tiada ulasan: