Jumaat, 9 Oktober 2009

Moyang berusia hampir 100 tahun dirai 200 ahli keluarga



Warga emas, Paini Dempet, 93, (dua, kanan) dibantu beberapa
anggota keluarganya memotong kek ulang tahun kelahirannya
pada 16 Sept lepas ketika meraikan hari ulang tahun
kelahirannya itu di kediamannya di Kampung Haji Baki di sini,
dan menyambut Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.
-Foto BERNAMA

KUCHING: Paini Dempet, 93, sentiasa menantikan ketibaan Syawal kerana tradisi berkumpul dalam kalangan kira-kira 200 anggota keluarga beliau daripada lima generasi akan diadakan bagi mengeratkan silaturahim.

Tiada kata yang dapat diucapkan oleh Paini yang berasal dari Pulau Jawa, Indonesia, yang kini warganegara tetap Malaysia, melainkan senyuman apabila melihat suasana riuh-rendah lima anak, 50 cucu, 80 cicit dan selebihnya piut-miut berkumpul bersama-sama meraikan Hari Raya Aidilfitri.

Tahun ini sambutan Aidilfitri membawa lebih seribu makna kepada Paini kerana satu majlis khas bagi menyambut hari jadi beliau yang ke-93 diadakan, 10 hari kemudian, di kediamannya di Kampung Haji Baki di sini. Paini dilahirkan pada 16 Sept 1916.

Beliau berhijrah ke Bumi Kenyalang bersama ibu bapanya dari Jawa, Indonesia pada awal tahun 1900.

Beliau pada mulanya menetap di Serian, dekat sini sebelum berpindah ke Kampung Haji Baki.

Ketika berusia 16 tahun, Paini berkahwin dengan Rai Jakim dan dikurniakan lapan cahaya mata lima anak perempuan dan tiga anak lelaki.

BERKUMPUL RAI HARI JADI DAN RAYA

"Saya sentiasa menantikan ketibaan Syawal kerana inilah masanya kesemua anak, cucu, cicit dan piutmiut yang berada di luar negeri untuk bekerja dan melanjutkan pelajaran akan berkumpul dan meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama.



Paini Dempet (duduk tengah, berbaju coklat) bergambar
bersama sebahagian daripada 200 anggota keluarganya.

"Bukan senang untuk mengumpulkan mereka semua. Sambutan Aidilfitri tahun ini amat bermakna kerana hari jadi saya dapat disambut bersama dengan mereka," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di sini.

Paini hanya fasih berbahasa Jawa disebabkan itu perbualan ini diterjemah oleh cicitnya, Norsafarina Sajom, 20, pelajar Institut Kemajuan Islam Malaysia Sarawak.

PETUA SAYUR REBUS DAN BANGUN AWAL

Sejak kematian suami kira-kira 30 tahun lepas, Paini menyara hidup keluarganya dengan menjadi bidan dan tukang urut di kampung berkenaan.

Kini, Paini ditemani lima anaknya berikutan anak sulung, kedua dan bongsu telah meninggal dunia.

Paini masih sihat dan boleh berjalan, dan masih mampu menjalankan rutin harian termasuk ibadat sembahyang walaupun tidak lagi boleh berpuasa atas faktor usia dan nasihat doktor.

Paini berkata sayur rebus dan bangun awal setiap hari ialah petua beliau masih sihat. "Makanan kegemaran saya ialah sayur rebus dan sentiasa bangun awal, selain tidak meninggalkan sembahyang," katanya.

MAMPU MENJAHIT

Namun, anak-anaknya yakin ibu mereka kini berusia 98 tahun kerana anak sulungnya allahyarham Semik Rai dilahirkan pada tahun 1927.

Mereka berkata kemungkinan besar kelahiran Paini lambat didaftar, sebab itulah mengikut rekod yang ada umurnya kini hanya 93 tahun.

Kini beliau banyak mengisi masa lapangnya dengan menjahit selimut yang dikenali di sini sebagai "selimut tampung seribu."Walaupun usia hampir mencecah 100 tahun, Paini masih lagi menjahit dengan tangan tanpa menggunakan cermin mata

Tiada ulasan: