Ahad, 18 Oktober 2009

MCA tidak perlu adakan EGM kedua - Liow

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden MCA yang baru Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Sabtu berkata parti itu tidak perlu mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) kali kedua untuk menentukan kedudukan presiden Datuk Seri Ong Tee Kiat.

Beliau berkata MCA mempunyai kaedah tersendiri untuk menyelesaikan kemelut yang berbangkit dalam parti itu termasuk perbincangan di peringkat Jawatankuasa Pusat (CC).

Katanya sehubungan itu Jawatankuasa Pusat MCA akan bertemu dengan Ong untuk menasihati beliau supaya tidak mengadakan EGM kedua kerana ia tidak dapat menyelesaikan masalah MCA.

"Perwakilan MCA sudah memberi pandangan mereka (pada EGM lepas) dan oleh itu, kami rasa mereka akan menghormati keputusan EGM, dan mahu melihat CC menghormati keputusan itu.

"Kami akan mencari jalan yang paling baik untuk menyelesaikan masalah ini. Bagi kami di CC, parti masih ada ruang untuk menyelesaikan masalah," katanya kepada pemberita semasa menghadiri rumah terbuka Deepavali MIC di Pusat Dagangan Dunia Putra , Sabtu.

Ditanya mengenai dakwaan bahawa ada pihak yang memungut tanda tangan untuk mendesak Ong berundur, Liow menafikan perkara itu.

"Tanda tangan itu bukan mendesak dia (Ong) meletak jawatan. Mereka cuma mahukan saya berbincang dengan presiden dan mewakili pandangan mereka. Kami sebenarnya merayu kepada presiden untuk mendengar beberapa pandangan anggota CC," katanya.

"Saya rasa apa yang paling penting ketika ini ialah supaya parti bersatu padu dan tetapkan hala tuju parti," katanya.

Sementara itu Liow turut memuji ucapan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak pada akhir perhimpunan agung Umno semalam, yang menurutnya dapat membangkitkan semangat anggota Umno dan parti komponen Barisan Nasional lain.

Tiada ulasan: