Sabtu, 10 Oktober 2009

MB Pahang tidak perlu bayar RM63j

BERNAMA


PUTRAJAYA: Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob tidak perlu membayar RM63 juta kepada sebuah syarikat pembalakan seperti diperintah Mahkamah Tinggi sebelum ini, demikian diputuskan oleh Mahkamah Rayuan, semalam.

Hakim Datin Paduka Zaleha Zahari, yang bersidang bersama Datuk Sulaiman Daud dan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha, mendapati Menteri Besar itu tidak sepatutnya dinamakan sebagai responden dalam prosiding semakan penghakiman yang dipohon oleh Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd bagi mendapatkan bayaran itu daripada kerajaan negeri.

Bagaimanapun, katanya, wang berkenaan masih perlu dibayar kepada syarikat berkenaan kerana keputusan semalam tidak membabitkan keputusan utama (memerintahkan kerajaan Pahang membuat bayaran RM63 juta itu) oleh Mahkamah Tinggi pada 2007.

Peguam Karpal Singh, yang mewakili Seruan Gemilang, memberitahu pemberita kemudian bahawa beliau akan mengemukakan permohonan minggu depan bagi merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Adnan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan pada 20 April lalu yang memerintahkannya membayar RM63 juta kepada Seruan Gemilang ekoran permohonan writ mandamus (perintah supaya akur) oleh syarikat berkenaan.

Pada 25 Mei 2007, kerajaan Pahang diperintah oleh Mahkamah Tinggi Kuantan membayar kepada syarikat itu wang berjumlah RM37,127,471.60 bersama faedah lapan peratus setahun mulai 31 Disember 2000 kerana melanggar kontrak konsesi pembalakan di satu kawasan seluas 4,000 hektar milik Umno di Pekan.

Dalam kenyataan pembelaannya, kerajaan negeri berkata Seruan Gemilang diberi lesen membalak di kawasan seluas 2,800 hektar saja kerana syarikat itu tidak berminat membalak di kawasan selebihnya.

Adnan diwakili peguam Datuk Shafee Abdullah dan Penasihat Undang-undang Negeri Pahang Datuk Mat Zaraai Alias.

Tiada ulasan: