Khamis, 22 Oktober 2009

Mantan Presiden PMI selar sikap "double standard" UM

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR : Bekas Presidan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Nasir Zakaria membantah tindakan universiti itu mengenakan tindakan tatatertib kepada lapan mahasiswanya hanya kerana mengundang ahli politik pembangkang menyertai aktiviti persatuan di kampus.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, mahasiswa yang merupakan aset terbaik negara harus diberi peluang untuk mendengar, berdialog, menganalisis dan membuat keputusan.

Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi ujarnya harus memberi peluang kepada semua pihak memberikan pandangan.

Sedangkan BN, setiap hari menyampaikan pandangan mereka melalui media massa.Malah pemimpin politik BN dibenarkan untuk masuk ke universiti samada melalui jalan rasmi atau tidak rasmi tanpa apa-apa halangan.

"Banyak lagi isu yang perlu menjadi prioriti UM, termasuk isu moral dan akhlak, isu rating yang masih berlegar di sekitar 200 terbaik sedangkan pernah mencapai 100 terbaik mengikut (THES), bangunan yang sudah usang, tenaga akademik terbaik yang berhijrah dan tidak disambung kontrak, bangunan yang runtuh dan tidak selamat dan banyak lagi,"tulis beliau dalam blognya.

Menurutnya, sekiranya lapan mahasiswa berkenaan dikenakan tindakan sama ada digantung atau dipecat daripada meneruskan pengajian, beliau dan juga ahli parlimen pembangkang yang lain tidak teragak-agak untuk membawa isu ini ke persidangan dewan rakyat.

Nasir turut mempersoalkan pertuduhan yang dikenakan terhadap kesemua mahasiswa berkenaan iaitu melanggar statut UM (1979) yang dilihat sejak dahulu hanya digunakan kepada pemimpin pembangkang sedangkan ia tidak akan menjadi masalah jika yang diundang masuk ke kampus itu ialah pemimpin kerajaan.

"Adakah memanggil seorang pemimpin yang berlainan pandangan pun satu jenayah?" soalnya.

"Saya ulangi mereka bukan penyamun, bukan perogol, bukan pencuri harta universiti. Pimpinan mahasiswa zaman saya dulu adalah pelajar-pelajar first class atau 2nd class upper. Mereka sekarang cukup berjaya dalam bidang masing-masing.

Beliau juga meminta pihak universiti memberi penjelasan berhubung puluhan pemimpin kerajaan yang masuk ke kampus tanpa sebarang gangguan. Malah ada maklumat bahawa pada hari lapan mahasiswa berkenaan dipanggil pada kali kedua oleh p[ihak unversiti, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir diundang ke program universiti.

Kebimbangan mengenai pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) akan lebih mencengkam dan menumpulkan kreativiti mahasiswa tegasnya sudah menjadi kenyataan.

"Jaminan menteri bahawa akta yang dipinda akan lebih memberi ruang hanyalah retorik politik murahan mereka," tegasnya.

Pada 16 Mac lalu, ADUN Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga Setiausaha kepada Menetri Besar Selangor, diundang menyampaikan ucapan perasmian mesyuarat agung persatuan tersebut.

Manakala,keenam-enam pemimpin Persatuan Bahasa Cina Universiti Malaya (PBCUM) turut mendapat pendakwaan yang hampir sama kerana menjemput Adun Seputeh, Teresa Kok dan Ahli Jawatankuasa MCA Pusat, Wong Nai Chee sebagai panel Hakim dalam suatu pertandingan debat rasmi Universiti. _

Tiada ulasan: