Khamis, 8 Oktober 2009

Manifesto jatuhkan MCA

SINAR HARIAN ONLINE


KOTA BHARU - Manifesto bekas Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang dilancarkan kelmarin bertujuan menjatuhkan kepimpinan MCA sekarang.

Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat yang kesal dengan manifesto itu berkata, sebelum ini Soi Lek telah menyatakan pendiriannya untuk tidak mengganggu kepimpinan beliau.

“Dia boleh lancarkan apa saja dan itu pun bukan kali pertama. Cuma satu yang saya nampak dengan begitu ketara sekali sebab sebelum ni beliau pernah sumpah dan cakap secara lantang bahawa bukan dia nak tumbangkan kepimpinan saya sebagai presiden dan tak berniat untuk mengambil alih atau menawan jawatan Presiden.

“Tetapi sekarang nampaknya apa yang nampak depan mata termasuk juga resolusi yang dicadangkan itu semuanya adalah satu-satunya perancangan yang menjurus ke arah menumbangkan saya dan kemudian bila beliau dikembalikan keahlian dan jawatan sebagai Timbalan Presiden, beliau akan ambil alih,” katanya semalam sempena lawatannya bertemu MCA Kelantan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman manifesto Soi Lek yang bertujuan mengembalikan kekuatan parti selain membidas Presiden MCA, menjelang mesyuarat agung luar biasa (EGM) parti itu, Sabtu ini.

Tee Keat berkata, beliau juga kesal dengan tindakan Soi Lek membidas kepimpinannya semalam dengan menyifatkan tindakan itu mencerminkan ketidakmatangan sebagai seorang pemimpin.

“Itu pun seribu satu perkara kalau nak cipta, kalau nak bidas, itu cuma mencerminkan budi pekerti dan tahap kematangan seseorang pemimpin...itu saja.

“Saya tak pertikai dan tak nak bertikam lidah dengan sesiapa, apa yang saya buat cuma sekadar maklumkan perwakilan apa sebenarnya berlaku dalam parti,” katanya.

Mengenai lawatannya ke Kelantan, beliau menjelaskan kepada perwakilan MCA peringkat bahagian di Kelantan mengenai perkara yang sedang berlaku di dalam parti dan mendapat maklum balas demi kebaikan parti.

“Itu satu cara kita boleh dapatkan maklum balas dan senario sebenar mengenai kedudukan parti, bagi saya apa yang akan berlaku pada 10 Oktober ini dalam EGM MCA itu di luar dugaan saya kerana Tuhan dan perwakilan yang menentukan, saya sekadar jalankan tugas sebagai Presiden parti,” katanya.

Tiada ulasan: