Khamis, 8 Oktober 2009

Malaysia kaji kembang industri multimedia

BERNAMA


CANNES (Perancis) - Malaysia sedia menimbangkan cara untuk memberi insentif kepada industri bahan kandungan multimedia bagi mewujudkan lebih banyak pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sasaran yang ditetapkan untuk jumlah syarikat bahan kandungan multimedia yang beroperasi di MSC Malaysia akan dikaji semula pada mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa (IAP) akan datang bagi memacu industri berkenaan.

“Ada sasaran yang ditetapkan (sebelum ini), Malaysia akan mengkaji semula jumlah ini (jumlah syarikat) pada mesyuarat IAP akan datang,” katanya kepada wartawan selepas menyampaikan ucaptama kepada peserta MIPCOM 2009 di sini, kelmarin.

Najib yang sedang dalam lawatan rasmi empat hari ke Perancis sejak Ahad lalu singgah sehari di Cannes dalam perjalannya ke Paris untuk memberi sokongan kepada syarikat-syarikat Koridor Raya Multimedia (MSC) yang mengambil bahagian dalam pameran itu.

MIPCOM adalah acara berkaitan bahan kandungan global yang membabitkan kegiatan penerbitan bersama, membeli, menjual, membiayai dan membekalkan bahan kandungan hiburan dalam semua bidang.

Najib berkata, pada dasarnya industri bahan kandungan multimedia akan dapat mewujudkan tambahan 10,000 pekerjaan pada masa hadapan.

Katanya, ramai kalangan rakyat Malaysia pula amat berbakat serta kreatif dan beberapa institusi sudah ditubuhkan bagi melatih pekerja dengan kemahiran yang diperlukan supaya mereka dapat menyertai industri bahan kandungan ini dengan lebih efektif.

Sehingga kini, industri bahan kandungan multimedia kreatif Malaysia membabitkan kira-kira 200 syarikat, terutama yang terlibat dalam bidang pasca penerbitan, animasi, pembangunan permainan video, e-pembelajaran, komunikasi dan bahan kandungan interaktif.

Syarikat-syarikat tersebut menjana lebih 7,000 pekerjaan kreatif dengan nilai tambah yang tinggi yang membabitkan pulangan tahunan lebih USD$200 juta.

Najib berkata Jerman, yang memiliki keupayaan teknikal dan kejuruteraan yang tinggi, mungkin boleh menjalin kerjasama dengan keupayaan kreatif Malaysia bagi mewujudkan lebih banyak sinergi syarikat Malaysia dan Jerman.

Tiada ulasan: