Jumaat, 2 Oktober 2009

Malaysia bawa pulang penuntut Malaysia dari Padang

BERNAMA


KUALA LUMPUR — Malaysia malam ini menghantar tiga pesawat tentera ke Padang dalam misi membawa pulang hampir 300 penuntut Malaysia yang terlibat dengan kejadian gempa bumi di Sumatera barat Indonesia, petang semalam.

Tiga pesawat pengangkut jenis Hercules, yang membawa 26 orang termasuk 11 wakil media berlepas dari Pangkalan TUDM Subang pada 11.45 malam menuju ke Padang.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Mohamed Tajudeen Abdul Wahab yang berada di pangkalan itu berkata pesawat yang membawa pulang penuntut terbabit di jangka tiba di Pangkalan TUDM pada 5.00 pagi Jumaat.

Angkatan Tentera Malaysia telah bersiap sedia untuk misi itu selepas gempa bumi kuat berskala 7.6 Richter melanda Padang dan menyebabkan ramai terkorban dan kemusnahan yang teruk.

Jabatan Penuntut Malaysia melaporkan semua pelajar Malaysia selamat dan akan dibawa pulang sehingga keadaan pulih memandang universiti dan tempat tinggal mereka mengalami kerosakan akibat gempa itu.

“Membawa mereka pulang merupakan pilihan terbaik kerana jika tetap di Padang pun, mereka tidak akan merasa nyaman dalam keadaan serba kekurangan.

Apatah lagi semua kuliah juga sudah dibatalkan,” Timbalan Ketua Perwakilan di Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Amran Mohamed Zain memberitahu wartawan Bernama di Jakarta.

Tiada ulasan: