Isnin, 26 Oktober 2009

Malaysia akan terima 78,000 vaksin H1N1 akhir bulan ini

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Malaysia akan menerima 78,000 vaksin Influenza A(H1N1) daripada 400,000 vaksin itu yang ditempah dari Britain untuk kegunaan petugas barisan hadapan dan kumpulan yang berisiko tinggi pada akhir bulan ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Katanya walaupun tahap penularan wabak itu dalan negara masih terkawal namun ia tidak harus dipandang ringan berikutan pengisytiharan tahap kecemasan oleh Presiden Amerika Syarikat Barack Obama pada Sabtu lepas.

"Penghantaran pertama 78,000 vaksin H1N1 akan diterima akhir bulan ini manakala selebihnya kita akan terima menjelang Januari tahun depan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar "Penyakit Gastrointestinal dan Hati" di Hospital Selayang hari ini.

Liow berkata Malaysia harus bersedia menghadapi kemungkinan gelombang kedua wabak H1N1 yang dijangka berlaku pada hujung tahun ini walaupun rekod pesakit yang dilaporkan menghidap penyakit itu semakin menurun.

"Memang bilangan pesakit H1N1 yang berada di wad kecemasan berkurangan dan bilangan yang terkorban kekal dengan 77 orang akibat pandemik itu tetapi ini belum berakhir, kita perlu sentiasa berhati-berhati dan bersedia untuk berdepan dengan gelombang kedua H1N1 yang dijangkakan akhir tahun ini," katanya.

Pada masa yang sama, beliau berkata penularan wabak H1N1 di negara ini masih aktif dan mengingatkan orang ramai agar sentiasa meneruskan langkah pencegahan penularan wabak itu.

Sementara itu, Liow turut menasihatkan orang ramai terutamanya lelaki agar mengamalkan gaya hidup yang sihat bagi mengelakkan penyakit barah usus.

Katanya menurut satu kajian yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan, sebanyak 14.5 peratus lelaki terdedah kepada penyakit barah usus berbanding 9.1 peratus perempuan.

Beliau berkata mengikut kajian itu, masyarakat Cina terdedah kepada ancaman penyakit barah usus dengan peratusan 28.8, diikuti 9.9 peratus kaum India dan 7.1 peratus bagi kaum Melayu.

Tiada ulasan: