Isnin, 26 Oktober 2009

Makan sayur rahsia Kalavanti panjang umur


I. KALAVANTI atau nama sebenarnya Parvathy yang berusia 112 tahun menerima ciuman daripada cicitnya, Ravitari di rumahnya di Pulau Pinang, semalam.

UTUSAN ONLINE

PULAU PINANG - Amalan makan makanan berasaskan sayur-sayuran merupakan rahsia seorang wanita, I. Kalavanti panjang umur sehingga usianya kini dikatakan mencecah 112 tahun.

Anaknya, S. Geetha Devi, 54, seorang peguam di sini mendakwa wanita itu merupakan individu tertua di negara ini.

Kata peguam itu, ibunya yang nama sebenarnya Parvathy dan berasal dari Kampung Mangewal, Punjab, India berkahwin dengan seorang peniaga sebelum datang ke Pulau Pinang pada awal 1920-an iaitu selepas Perang Dunia Pertama.

''Ibu mempunyai lapan anak, 13 cucu dan dua cicit dan masih mampu mengenali kesemua ahli keluarganya walaupun sudah terlalu berumur.

''Rahsianya makan sayur-sayuran, malah selama ini juga ibu tidak pernah mengalami sebarang sakit serius. Ibu juga suka bermain dengan tocangnya yang dihiasi bunga melur walaupun telah berkerusi roda sejak 10 tahun lalu," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena sambutan majlis kesyukuran untuk ibunya di rumah mereka di Jalan Kim Bian Aik, Taman Lalulintas di sini hari ini.

Geetha memberitahu, ahli keluarganya telah melaporkan keistimewaan Kalavanti kepada Malaysia Book of Record tetapi pihak berkenaan tidak dapat mengesahkan usianya kerana tiada bukti atau rekod.

Beliau menjelaskan, keluarganya percaya Kalavanti berusia 112 tahun kerana jika berpandukan pada MyKad ibu dan adiknya, S. Shanti Devi, tahun kelahiran kedua-duanya yang tertera adalah sama iaitu 1918 dan ia adalah tidak betul.

''Tahun 1918 adalah tarikh kelahiran adik ibu, Shanti Devi tetapi tarikh sama didaftarkan sebagai tahun kelahiran ibu kerana ketika itu tiada sistem pendaftaran yang teratur.

''Apa yang menguatkan dakwaan kami bahawa ibu berusia 112 adalah kerana perbezaan usia beliau dan adiknya adalah 19 tahun.

"Shanti Devi kini berumur 71 tahun adalah anak bongsu yang telah melahirkan anak pertama ketika berusia 16 tahun manakala ibu pula adalah anak sulung daripada lima beradik," katanya.

Jelasnya, walaupun Kalavanti berkerusi roda sejak 10 tahun lalu namun beliau yang dipanggil 'Be Be Jei' oleh ahli keluarganya itu sentiasa ceria dan menguntum senyuman.

Tiada ulasan: