Isnin, 5 Oktober 2009

Majlis Fatwa Kebangsaan diminta siasat JAG, SIS

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Majlis Fatwa Kebangsaan diminta menyiasat Kumpulan Tindakan Bersama Untuk Kesaksamaan Jantina (JAG) dan Sisters In Islam (SIS) dan jika bersalah mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru, Zulkifli Noordin berkata, kenyataan kedua-dua kumpulan tersebut mengenai hukuman sebat ke atas model sambilan Katika Sari Dewi Shukarnor baru-baru ini boleh dikategorikan sebagai mempertikaikan hukum syarak dan penghinaan terhadap Islam.

''Malahan kenyataan berkenaan juga boleh menjerumuskan seseorang itu menjadi murtad jika ia dibuat secara sengaja dan sedar.

''Saya mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan tersebut yang mempertikaikan perundangan syariah yang digubal dan dikanunkan menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan,'' katanya.

Zulkifli berkata demikian dalam laman blognya zul4kulim.blogspot.com kelmarin bagi mengulas kenyataan JAG dan SIS yang meminta hukuman ke atas Kartika Sari Dewi dibatalkan.

JAG dan SIS turut mendakwa hukuman sebat akan mendera pesalah.

Kartika Sari Dewi, 32, dijatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah pada 20 Julai selepas mengaku salah minum arak di sebuah hotel di Cherating pada 11 Julai 2008.

Hukuman sebat itu bagaimanapun ditangguhkan bagi menghormati bulan Ramadan selain ketiadaan pegawai sebat bertauliah mengikut syariat.

Bagaimanapun baru-baru ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, Jabatan Penjara kini telah mempunyai pegawai sebat dan bersedia untuk melaksanakan tugas itu pada bila-bila masa.

Mengulas lanjut mengenai tindakan JAG dan SIS, Zulkifli menambah, umat Islam hendaklah mengadakan bantahan yang jelas dan tegas terhadap kumpulan itu seperti mengadakan perhimpunan aman.

Tiada ulasan: