Sabtu, 3 Oktober 2009

Mahkama Majistret akan putuskan soal sampel DNA Kugan

BERNAMA


PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan polis mengemukakan sampel DNA dan barangan kes yang diambil daripada suspek kereta curi yang telah meninggal dunia, A. Kugan, yang dirampas daripada pakar patalogi forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Mahkamah Majistret menjelang 9 Oktober.

Pesuruhjaya Kehakiman Yeoh Wee Siam berkata kes itu akan dirujuk semula ke Mahkamah Majistret untuk memutuskan sama ada sampel yang dirampas pada 6 April itu akan dipulangkan kepada PPUM atau kekal dalam simpanan polis sementara menunggu perbicaraan di Mahkamah Sesyen.

Yeoh, bagaimanapun, menolak permohonan ibu Kugan, N.Indra, untuk menyemak keputusan Mahkamah Majistret pada 6 April untuk mengeluarkan waran geledah terhadap polis dalam rampasan sampel itu.

Yeoh berkata waran geledah itu adalah sah dan betul tetapi polis gagal untuk mengemukakan semua barangan yang dirampas di Mahkamah Majistret selepas serbuan di PPUM.

Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin, yang mewakili polis, memberitahu mahkamah yang polis akan mematuhi perintah itu.

Kugan, 22, ditahan polis pada 15 Jan tahun ini atas dakwaan terlibat dalam kes curi kereta tetapi meninggal dunia beberapa hari kemudian semasa dalam tahanan polis.

Semalam, seorang anggota polis dari Balai Polis Subang USJ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua pertuduhan mengakibatkan kecederaan teruk terhadap Kugan.

Tiada ulasan: