Khamis, 15 Oktober 2009

Lebih 300 penyokong Tee Keat banjiri Wisma MCA

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Lebih 300 penyokong Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat mula membanjiri Wisma MCA di sini, bagi menunjukkan sokongan mereka terhadap beliau.

Walaupun keadaan hujan, ia tidak melemahkan semangat penyokong Menteri Pengangkutan itu apabila mereka terus berdiri sejak jam 11 pagi tadi.

Tinjauan Berita Harian mendapati penyokong Ong memegang pelbagai kain rentang bagi memintanya tidak meletakkan jawatannya.

Ong dijangka menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CC) MCA, 1 tengah hari ini.

Difahamkan, rata-rata penyokong Ong tiba di Wisma MCA menaiki lapan bas dan mendakwa mewakili enam negeri.

Sementara itu, Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai tiba di wisma MCA jam 12.30 tengah hari tadi, bagi menghadiri mesyuarat CC dan beliau juga adalah pemimpin yang dianggap berpotensi bagi menerajui parti berkenaan.

Naib presidennya, Datuk Seri Kong Cho Ha; ketua wanita parti itu, Datin Paduka Chew Mei Fun dan ketua pemuda pergerakan berkenaan, Datuk Dr Wee Ka Siong turut kelihatan pada jam 12.40 tengah hari tadi.

Mesyuarat CC itu diadakan berikutan hampir 1,155 perwakilan yang hadir pada Mesyuarat Luar Biasa (EGM) Sabtu lalu, menolak kepimpinan Ong.

Tiada ulasan: